Perwakilan Wilayah Persekutuan dalam Kongres PKR mencadangkan supaya satu jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk menyiasat aduan-aduan yang diterima berhubung pemilihannya.

Azman Abidin berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) "tidak harus menyiasat" aduan tersebut supaya siasatan dilihat lebih adil dan telus.

"(JPP memang) ada kekurangan, (dan) kelemahan harus kaji. Dan selepas kongres dan setelah dapat kenalpasti kelemahan, saya mencadangkan (parti) menubuhkan satu badan bebas.

"Segala aduan calon harus siasat yang tidak harus JPP siasat, bagi memboleh siasatan lebih adil dan telus," katanya sewaktu membahaskan usul pemberdayaan demokrasi pagi ini.

Dalam perbahasan itu juga, Azman turut mencadangkan agar parti memperketatkan syarat-syarat calon yang bertanding ketua cabang  dengan menaikkan jumlah wang deposit pencalonan jawatan tersebut kepada sekurang-kurangnya RM1,000.

"Sekurang-kurang duit itu boleh digunakan oleh ibu pejabat," katanya.

Pada masa ini sebanyak RM20 dikenakan untuk bertanding jawatan di peringkat cabang.

Sementara itu, perwakilan Melaka Mahani Maspan mencadangkan parti segera menubuhkan pengkalan data calon bagi mengenalpasti rekod calon bertanding.

"(Parti perlu) memlilih kualiti calon bermula daripada sekarang," katanya.