Syed Hasan: Suara Perkasa belum berkubur
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa akhbar Suara Perkasa yang diterbitkannya secara dwi bulanan itu sudah terkubur kerana kurang sambutan.
Sebaliknya, kata setiausaha agungnya Syed Hasan Syed Ali, pihaknya "menangguhkan" penerbitan akhbar itu disebabkan "mahu menyusun pengedaran kerana tidak berapa berkesan".
"Kita mahu memastikan pengedar yang boleh menambah dan meningkatkan jualan Suara Perkasa. Kita juga mahu memastikan tempat-tempat (yang mana) Suara Perkasa (dapat) diterima," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bercakap kepada Malaysiakini lewat petang ini, Syed Hasan berkata edisi baru Suara Perkasa dijangka berada di pasaran awal Februari tahun depan ini.
Beliau mengulas tulisan di laman sosial Facebook yang mendakwa akhbar tabloid berkenaan akan menghentikan penerbitannya mulai pertengahan Januari tahun depan kerana dikurang sambutan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah menerbitkan edisi edisi sulung akhbar NGO Melayu sejak Julai lalu dan sempat menerbitkannya sebanyak 11 edisi.
"Edisi terakhir adalah pada 1 Disember. Setiap bulan kita tidak pernah terlepas (menerbitkannya)," katanya sambil menambah kakitangan akhbar itu turut kekal bersama akhbar berkenaan.
Edisi sulung akhbar dilihat bermula 'garang' dengan tajuk muka depannya berjudul "Tahan Ka Siong bawah ISA" dan memfokuskan mengenai suara NGO Melayu. Akibatnya, PERKASA diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri.
Buat edisi permulaan sebanyak 25,000 dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia. Ia dijual dengan harga RM2 di semenanjung dan RM2.50 di Sabah dan Sarawak.

