PAS hari ini menafikan bahawa suami calonnya di kerusi pilihan raya kecil Tenang - Maarof Abdul Mutalib menghadapi penyakit serius seperti didakwa dalam akhbar arus perdana dan beberapa blog pro-BN.
Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Hatta Ramli yang juga ahli parlimen Kuala Krai, setakat ini, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan suami Normala Sudirman itu menghadapi masalah kesihatan yang serius.
"Tidak ada indikasi beliau ada penyakit yang serius, yang bahaya, tidak ada.
"Beliau bukannya lumpuh atau hilang ingatan. Rasanya (ia) bukannya isu.
"Kalau ada pakar minta rujuk kepada pakar besar, terpulanglah pakar tersebut," kata Dr Hatta Ramli.
Beliau yang juga seorang pengamal perubatan berkata berdasarkan surat cuti sakit yang diberikan kepada guru berkenaan selama 21 hari, hanya mencatakan sakitnya sebagai "simple depressive disorder".
"Masalah kemurungan boleh berlaku dalam banyak hal. Kita tidak tahu apa puncanya, tetapi beliau pernah digambarkan sewaktu isterinya diisytiharkan menjadi calon, beliau diarahkan berpindah 24 jam.
"Mengikut amalan perubatan antara tekanan dan kemurungan boleh berlaku kerana kematian keluarga, atau perpindahan. (Jadi) kemurungan mungkin boleh berlaku," katanya.
Dr Hatta mengulas laporan akhbar dan blog yang mempersoalkan status Maarof kerana bercuti cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.
Malah sijil sakit itu juga disiarkan di sebuah blog berkenaan dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.
Bersama isteri
Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai kemurungan tersebut.
Bagaimanapun, katanya antara terapi dan jalan penyelesaiannya mengenai isu ini adalah bersama-sama dengan isteri, keluarga dan orang yang disayanginya.
Mengulas mengapa Maarof mengambil cuti yang banyak, Dr Hatta meminta perkara tersebut dirujuk kepada doktor yang memberi cuti berkenaan.
Beliau juga berkata sijil sakit itu "tidak wajar" didedahkan kepada umum kerana ia merupakan dokumen sulit dan peribadi antara majikan dan pekerja.
'Tanya doktor'
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mempertahankan Maarof yang didakwa berkempen untuk isterinya.
"Beliau tidak kempen, atau memberi ucapan, tetapi (beliau) mendampingi isterinya," katanya.
Utusan Malaysia hari ini memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'. Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.
Sementara itu, Normala - ketika ditemui pemberita berhubung isu surat cuti sakit suaminya - berkata:
"(Perkara) itu saya kira lebih baik (media) berjumpa dengan doktor yang berikan surat cuti (supaya) lebih profesional, mengapa dan kenapa surat itu dikeluarkan kepada pesakit."
Ditanya mengenai masalah kesihatan yang dihadapi oleh Maarof, Normala sekali menegaskan supaya media bertanya kepada doktor tersebut.
"Media, kalau betul-betul nak tahu, tanya doktor. Saya kira itu lebih baik dan lebih adil (supaya) ada ketelusan," katanya.
Ditanya pemberita mengenai suaminya yang sakit, tetapi masih mengikut beliau berkempen, Normala berkata:
"Istilah sakit, bukan telantar. Saya kira ia telah diterangkan oleh (pihak) operasi (PAS). Saya ingat istilah itu perlu difahami... Setakat ini (beliau) ok (dan) emosinya sangat stabil," tegasnya.
Ditanya sama ada tertekan dengan dakwaan tersebut, Normala berkata beliau tidak rasa tertekan.
Katanya beliau percaya penganiayaan akan berbalik kepada orang yang membuat fitnah.
Katanya, suaminya jarang mengambil cuti dan beliau sangat memberi komitmen dengan kerjanya.