Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini memulakan pertemuan secara tertutup dengan ketua-ketua bahagian Umno seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Beliau yang tiba tepat jam 8.30 pagidijangka meluangkan kira-kira 30 minit dengan beberapa kumpulan daripada setiap negeri yang membabitkan 118 ketua bahagian.

NONE Mereka yang juga adalah ahli majlis tertinggi Umno, ahli parlimen, timbalan menteri dan menteri dikecualikan dalam pertemuan ini.

Sebelum ini, Najib berjumpa dengan ketua bahagian parti komponen BN ketika melawat Sarawak baru-baru ini dan beliau dijangka mengadakan pertemuan yang serupa di Sabah.

Bulan lalu, perjumpaan yang sama juga dianjurkan untuk ahli parlimen BN yang juga diadakan di ibupejabat Umno di PWTC.

Meskipun pelbagai pihak melihat tindakan Najib itu ada kaitannya kemungkinan parlimen dibubarkan supaya pilihan raya umum diadakan tetapi pengerusi BN itu telah menafikannya.

Sebaliknya, kata Najib, perjumpaan itu sebahagian daripada rancangan ‘transformasi politik’.

Namun keghairahan mengaitkan perjumpaan itu pilihan raya umum terus berlarutan dengan beberapa pemimpin akar umbi Umno berkata najib memberi tumpuan khusus kepada negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Secara kebetulan, ketua-ketua bahagian dari negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan mendahului perjumpaan dengan Najib.

Cantas mencantas

Pengerusi perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata perdana menteri mengingatkan beberapa bahagian di Kedah supaya "mengurangkan isu dalaman" termasuk "cantas-mencantas".

Katanya, isu dalaman itu berlaku pada satu atau dua bahagian di negeri itu.

"Perdana Menteri meminta bahagian (bermasalah) untuk menyelesaikan masalah. Jika tidak selesai, padah akan diberikan oleh beliau," katanya.

Ahmad Bashah memberi contoh, bahagian Sungai Petani yang berlakunya insiden cantas mencantas.

Malah, katanya Najib yang juga presiden Umno sempena sambutan Thaipusam baru-baru ini secara khusus meminta bahagian Sungai Petani  menyelesaikan masalah dalaman mereka itu.

"Beliau (Najib) minta kurangkan isu dalaman dan penyelesaian sudah bermula dengan mengadakan majlis pertemuan...Kita (perhubungan) negeri pun membantu menyelesaikan masalah," katanya.

"Gerakan Anti Ali"

Dilaporkan beberapa bulan lalu, kepimpinan bahagian dan akar umbi  itu telah hilang keyakinan dengan ketua jawatan bahagian itu Ali Yahya sehingga mereka menubuhkan kumpulan "Gerakan Anti Ali" (GAA) bagi menentang kepimpinan beliau.

Ditanya bahagian lain yang menghadapi masalah dalaman, Ahmad Bashah yang juga ketua Umno bahagian Alor Setar enggan mendedahkannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 14 ketua bahagian di Kedah memberi komitmen untuk menyelesaikan semua masalah demi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pertemuan tersebut berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 8.30 pagi tadi.

Pada pertemuan itu juga, Ahmad Bashah berkata ketua-ketua bahagian memberi komitmen bahawa peratus keyakinan untuk menawan kembali Kedah daripada Pakatan Rakyat "memang ada".

Katanya antara yang disarankan oleh perdana menteri adalah supaya kepimpinan Umno bahagian merapati pengundi muda

"Pengundi 21 tahun ke atas, perdana menteri minta kita temui dan rapati mereka.

"Perkara ini sangat mendapat perhatian oleh perdana menteri," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Bashah berkata Umno Kedah telah menyediakan pelbagai program untuk tujuan tersebut termasuk telah menyediakan senarai pengundi 21 tahun yang menjadi sasaran untuk ditarik menyertai Umno.

"Kita telah mengenalpasti seramai 170 ribu pengundi 21 tahun ke atas. Kalau separuh menyokong kita, kita akan menawan kembali negeri Kedah," katanya.

Rumah dirobohkan

Selepas Kedah, giliran seramai 12 ketua bahagian dari Pulau Pinang bersama-sama dengan perdana menteri.

Mereka  telah memberi pandangan mereka masing-masing tentang usaha bagi memenangi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata perbincangan juga tertumpu bagaimana cara untuk menawan hati rakyat Pulau Pinang.

"Respon rakyat selepas 2008 telah berubah... Apa bezanya BN sebelum 2008 dengan kerajaan DAP...Jauh berbeza.

"(Sekarang) kita lihat ada gerai yang dirobohkan, rumah dirobohkan. (Tetapi) kita (pula) berbincang (dengan rakyat).

"(Jadi) rakyat boleh menilai kerajaan BN dan kerajaan DAP... Sekarang nampak rakyat Pulau Pinang sudah memahami," katanya kepada pemberita.

"Perdana Menteri juga telah bertanya kepada Umno Pulau Pinang mengenai status projek-projek yang dijanjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada pilihan raya umum yang lalu," katanya.

Secara keseluruhan, prestasi Umno Pulau Pinang tidak menghadapi sebarang masalah kerana mereka selalu turun padang dan rakyat negeri itu kini telah sedar bahawa pemerintahan pembangkang jauh lebih buruk berbanding pemerintahan BN Nasional dahulu.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus pula berkata perjumpaan anggota Umno Selangor dengan perdana menteri banyak membincangkan mengenai perkembangan di kawasan masing-masing.

Katanya, Najib meminta semua  ketua bahagian Umno di Selangor supaya terus berusaha untuk mendaftar ahli Umno yang belum didaftar sebagai pemilih.

Daftar pengundi muda

"Umno Selangor kini giat meningkatkan jumlah anggota Umno sebagai pengundi, terutamanya di kalangan golongan muda di Selangor.

"Kita yakin dalam masa yang terdekat ini dengan kesungguhan yang sedia ada kita akan berjaya mendaftarkan ahli-ahli Umno kita sebagai pemilih terutamanya ahli muda yang berusia 21 tahun dan ke atas," katanya.

Menurut Abdul Shukor terdapat kira-kira lebih 20 ribu ahli Umno di negeri itu yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Menurutnya, jumlah tersebut tidak termasuk jumlah pengundi muda yang disifatkannya "ramai" di negeri berkenaan.

Katanya, terdapat bahagian yang mencecah sehingga 4,000 ahli Umno yang belum didaftarkan sebagai pengundi.

“Banyak orang muda yang belum mendaftar (sebagai pemilih). (Kebanyakan) mereka ahli Umno yang bekerja di kawasan industri.

"Jadi bahagian yang terdapat kawasan industri, kita mengenal pasti rancangan dan program (kepada mereka)

"Jika kita laksana dalam masa terdekat, kita yakin akan mendapat sokongan rakyat," katanya yang juga ketua bahagian Selayang.

Sehubungan itu, Umno Selangor mensasarkan tiga bulan untuk melaksanakan perkara tersebut.

Umno mempunyai lebih 400 ribu ahli di seluruh negeri itu, tambahnya yang juga ADUN Kuang.

 

ADS