Jawatankuasa Pemilihan PAS melanjutkan selama lima hari - sehingga 15 Mei depan - untuk semua 179 PAS kawasan menghantar senarai pencalonan bagi pemilihan pucuk pimpinan parti itu  Jun ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan tarikh akhir untuk kawasan berbuat demikian ialah pada 10 Mei.

NONE Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ( dua dari kanan ) berkata lanjutan tarikh itu dibuat kerana masih ada kawasan yang bermesyuarat pada tarikh 15 Mei.

"Maka tarikh tutup (menghantar borang) pencalonan ditentukan pada tarikh tersebut. Kita beri peluang kepada kawasan untuk bermesyuarat untuk mencalonkan nama-namanya.

"Senarai pencalonan mesti sampai pada 15 Mei," katanya dalam satu sidang media di ibu negara.

Katanya, semua calon yang layak bertanding akan dihantar surat penerimaan pencalonan dan perlu dikembalikan pada 26 Mei depan.

"Calon yang menawarkan diri bertanding mesti menjawab surat itu. Jika tidak menjawab, maka (bermakna calon itu) tidak ada hasrat untuk bertanding," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, calon boleh menarik diri sebelum kertas diundi dicetak pada 28 Mei ini.

Ucapan presiden masih dideraf

Mustafa juga berkata semua borang pencalonan dimasukkan ke dalam sebuah peti dan dikawal oleh jawatankuasa pemilihan parti.

Katanya, ibu pejabat parti akan mengadakan sidang media untuk bagi mengumumkan calon yang layak bertanding  dalam pemilihan tersebut.

Mustafa berkata beliau tidak mempunyai maklumat jumlah kawasan yang telah mengadakan mesyuarat atau belum berbuat demikian termasuk jumlah senarai pencalonan yang telah dihantar.

Ditanya mengenai isu yang dijangka akan dibangkitkan dalam muktamar akan datang, Mustafa menjangka antaranya berhubung persiapan parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

hadi awang and pas Menurutnya lagi, ucapan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih dalam proses pendrafan.

"Selepas itu, baru kita tahu isu-isu yang dibangkitkan (dalam ucapan tersebut)," katanya.

Ibu pejabat parti menetapkan muktamar agung PAS berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini di Taman Melawar.

Manakala ketiga-tiga sayap parti  - Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama  - dijadual diadakan pada 1 dan 2 Jun.

Muktamar Dewan Pemuda PAS ditetapkan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), manakala Dewan Muslimat ditetapkan di Dewan Banquet.

Manakala muktamar Dewan Ulama diadakan di Taman Melewar, Gombak.