Jumlah pencalonan pemilihan jadi pertikaian
Walapun pencalonan bagi pemilihan PAS masih berbaki beberapa hari lagi, namun cakap-cakap mengenai siapa yang mendahului terus menjadi bualan hangat.
Jawatan paling paling adalah timbalan presiden PAS yang dijangka menyaksikan pertandingan sengit apabila penyandangnya, Nasarudin Mat Isa dicabar oleh naib presiden, Mohamad Sabu.
Sebelum ini, pihak tertentu meluahkan perasaan 'kurang selesa' dengan jumlah pencalonan tidak rasmi pemilihan parti yang dilaporkan.
Namun sumber yang membekalkan maklumat itu mempertahankan jumlah pencalonan yang diberikan dengan berkata pihaknya mendapat maklumat dan membuat semakan daripada wakil tokoh PAS itu di peringkat kawasan dan negeri.
"Apabila kita tahu jawatankuasa kawasan akan bermesyuarat, ada orang kita akan pergi tanya keputusan (pencalonan selepas itu). Kita kumpul (maklumat) daripada orang-orang kita.
"Kita berpegang dengan angka-angka itu, (kerana) setiap kawasan atau negeri, kita ada wakil-wakilnya. Kita double check... Jadi kita dapat dahulu daripada pejabat agung PAS," katanya.
Sebelum ini aktivis PAS yang lebih dikenali sebagai 'Abang Mat' itu dilapor mendahului
pencalonan
bagi jawatan timbalan presiden dengan memperolehi 70 pencalonan setakat Sabtu lalu.
Manakala penyandangnya Nasharuddin Mat Isa mendapat 39 pencalonan sementara naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meraih 17, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (5), naib presiden Salahudin Ayub dan menteri besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masing-masingmendapat satu pencalonan.
Hasrat akar umbi
Bagaimanapun, ketika ditemui Malaysiakini Selasa lalu, Salahudin memberitahu beliau telahpun mendapat empat atau lima pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.
PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negera.
Ditanya sama ada pencalonan yang dibuat oleh jawatankuasa kawasan menggambarkan hasrat akar umbi terhadap calon yang dipilih, sumber itu berkata ia tidak menggambarkan atau menampakkan hasrat akar umbi.
"Kalau betul-betul (kehendak) akar umbi, (pencalonan) dibuat dalam mesyuarat kawasan melalui undian," katanya sambil menambah tidak semua kawasan membuat pencalonan dengan menyerahkan kepada jawatankuasa.
Malah terdapat juga kawasan yang membuat pencalonan dalam mesyuarat kawasan, tambahnya.
Sumber berkata pewakilan kawasan tertentu menyerahkan kepada jawatankuasa kawasan baru untuk membuat pemilihan kerana mereka yakin bahawa jawatankuasa "faham kehendak" perwakilan untuk memilih calon-calon tertentu.
"Biasanya mereka melantik jawatankuasa yang dapat memenuhi kehendak (pencalonan) mereka. Jika tidak bersetuju itu yang menyebabkan perdebatan dalam mesyuarat perwakilan," kata sumber.
Malah katanya, terdapat juga perwakilan yang mahu mesyuarat kawasan ditangguhkan kerana terdapat pewakilan yang mempunyai komitmen lain.
Sementara itu, Mohd Sayuti Omar dalam blognya - Tinta Merah mendakwa kedudukan pencalonan antara Mohamad dan Nasharuddin dilihat seimbang.
Katanya, setelah lebih 140 kawasan yang bermesyuarat Mohamad mendapat 59 pencalonan Nasharudin (53), Tuan Ibrahim (22) dan Azizan Razak empat pencalonan.
"Sama ada siapa yang mendahului dari segi pencalonan akan ditentu oleh kira-kira 30 kawasan yang masih belum membuat keputusan untuk mencalon siapa.
"Sekiranya semua kawasan itu mencalon Tuan Ibrahim ini bermakna Tuan Ibrahim akan memperolehi lebih 50 kawasan. Kedudukan ini seimbang dan memungkinkan akan berlaku kompromi.
"Saya percaya kalau berlaku kompromi ia akan menganiayakan Mat Sabu," katanya yang juga ketua pengarang akhbar Siasah.

