Mahfuz: 'PM perlu minta maaf, anggap rakyat penagih'

       

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengibaratkan subsidi sebagai “candu” yang perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai "satu penghinaan kepada rakyat seolah-olah penagih yang tidak boleh hidup tanpa subsidi kerajaan".

NONE "Pemberian subsidi adalah tanggungjawab kerajaan untuk meringan beban rakyat. Subsidi bukan candu atau memberikan kesan negatif, tetapi ia merupakan satu mekanisme yang baik untuk kerajaan mengagihkan kekayaan negara untuk rakyat," katanya.

Menurut ahli parlimen Pokok Sena itu, pengagihan subsidi itu boleh dibuat dengan mengagihkan kekayaan negara dengan pemberian subsidi barang-barang keperluan seharian.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan ucapan Najib di Pusat Pengajian Islam di Oxford, United Kingdom pada 17 Mei lalu berhubung perkara tersebut adalah tidak wajar sama sekali.

"Maka saya mendesak perdana menteri menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS pagi ini.

Dalam sidang media itu juga, Mahfuz turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu mengurangkan subsidi untuk mengelakkan defisit negara.

Sedangkan, tambahnya, kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah yang sesuai supaya tidak memindahkan bebanan itu kepada rakyat.

"Jadi (sekarang ini) rakyat yang terbeban... Pendapatan tidak bertambah, tetapi perbelanjaan bertambah untuk menanggung kos sehingga kita akan berdepan dengan kenaikan harga makanan dua kali lebih besar daripada negara barat.

"Kerajaan perlu mencari kaedah yang tidak meragut hak rakyat contohnya seperti mengurangkan perbelanjaan negara," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menyemak imbuhan dan elaun kepada menteri yang mana ia tidak perlu di saat negara menghadapai masalah ekonomi dan kewangan ketika ini.

Beliau juga mendesak agar kerajaan 'menggantung' hasil keputusan makmal rasionalisasi subsidi yang ditubuhkan kerajaan, bahkan membuat semakan semula dengan mengumpul pakar-pakar untuk mencari sumber-sumber baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah memberi contoh kerajaan Pakatan di negeri itu yang kehilangan RM50 juta pada awal pentadbiran mereka yang digunakan untuk mengurangkan cukai tanah rakyat selepas menguasai negeri itu pada 2008.

Tetapi katanya, dalam masa yang sama kerajaan negeri mencari sumber-sumber pendapatan yang baru termasuk meningkatkan hasil daripada sumber lama seperti hasil penebangan balak yang mendapat keuntungan RM30 juta berbanding RM8 juta setahun dibawah kerajaan BN.

Sementara itu, mengulas berhubung kenaikan pangkat bagi guru-guru seperti yang diumumkan Najib sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini, Mahfuz menyifatkan tindakan tersebut sekadar "digembar-gemburkan untuk mendapat keuntungan politik".

"Hanya sejumlah kecil sahaya, iaitu 30 peratus daripada hampir setengah juta guru di negara, seperti mana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini.

"Jadi tidak semua dapat...Nampak macam memberi manfaat besar kepada komuniti guru, tetapi hakikatnya tidak lebih daripada (untuk tujuan) politik...Banyak guru sudah dikomuditikan untuk kepentingan politik," katanya.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa agar kerajaan segera mempertimbangkan tuntutan-tuntutan kesatuan guru-guru demi kepentingan mereka.

Selepas pengumuman perdana menteri itu, kira-kira 400,000 guru kelas biasa kecewa dengan pengumuman kerajaan bahawa ia hanya membawa berita gembira kepada 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) Lok Yim Pheng dilapor berharap kerajaan akan menangani rintihan dan masalah serta memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

Malaysiakini
terkini untuk anda