Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib mengingatkan kepimpinan PAS supaya  tidak terlalu mengikut "rentak" pihak tertentu, termasuk dalam Pakatan Rakyat dalam usaha memelihara parti Islam itu.

Katanya, beliau bimbang PAS akan kehilangan identiti dan jatidiri Islam yang menjadi dasar parti itu.

"Kepimpinan PAS tidak boleh membiarkan PAS kehilangan identiti dan jati diri Islam semata-mata kerana terlalu meraikan kehendak pihak-pihak lain termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS dinamik dalam menangani perubahan tanpa mengorbankan al-thawabit (pendirian).

"Tidak ada kompromi dalam soal hukum halal dan haram yang telah dinyatakan secara sarih (jelas) dan nyata dalam Al-Quran dan al-Sunnah," kata Harun.

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, sebagai sebuah gerakan Islam, beliau menyeru agar PAS meraikan perubahan dalam arena politik negara ini.

Harun berkata perubahan perlu diraikan selagi tidak bercanggah dengan prinsip dalam usaha mencapaikan kemenangan.

" Tahalluf Siyasi dengan parti bukan Islam sebagai contoh adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan," katanya sambil menambah ia tidak menggadaikan prisip parti sebagai sebuah gerakan Islam.

Teks ucapan Harun bertajuk "Ulama Haraki Teraju Kemenangan" dibacakan timbalannya Datuk Ahmad Yaakob di muktamar dewan itu di Gombak pagi tadi.

'Orang kanan mesti Ulama Haraki'

Dalam ucapannya, Harun turut mengingatkan PAS agar tidak menjadi seperti Umno yang didakwa menggunakan alasan tadarruj (berperingkat-peringkat) untuk menafikan pelaksanaan hukum sedangkan mereka tidak ada matlamat ke arah itu.

" Tadarruj perlu berpaksikan kepada tempoh tertentu yang berakhir dengan pelaksanaan sepenuhnya hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Harun turut mempertegaskan bahawa bahawa gerakan Islam seperti PAS akan sentiasa didokong oleh 'Ulama Haraki'.

Harun mentakrifkannya sebagai "golongan yang memiliki ilmu agama, melaksanakan amanah perjuangan, sabar dan tidak sekali-kali berhenti daripada melaksanakan jihad dalam harakah Islam.

"Parti Islam Semalaysia (PAS) yang berdiri di atas paksi kepimpinan ulama, perlulah memiliki tenaga alim ulama yang setia dan bergerak cergas sama ada di peringkat atasan seperti Syura, ahli jawatankuasa harian, ahli jawatankuasa kerja, mahupun para pengurusan ulama di peringkat negeri atau kawasan," katanya.

Sehubungan itu, dari sudut organisasi, Harun berkata pucuk tertinggi parti perlulah disokong oleh para pembantu atau 'orang kanan' yang turut memiliki kualiti sebagai 'ulama haraki'.

"Golongan inilah yang akan menjaga dasar-dasar Islam sepanjang parti melaksanakan amanah kepemimpinan, meneraju umat ke arah kemenangan yang diimpikan, di dunia dan di akhirat, -Insya-Allah," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS