MP Pakatan sokong peniaga bantah laluan baru bas
Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat berhimpun bersama dengan peniaga dan penduduk sekitar Brickfields, di hadapan sebuah restoran di situ kerana membantah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan laluan bas dari arah Kuala Lumpur.
Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Fong Kui Loon (DAP) serta peniaga berkenaan, menuntut kerajaan mendengar keluhan mereka yang bimbang perniagaan di situ akan merosot sekiranya cadangan itu diteruskan.
Dalam perhimpunan kira-kira 10 minit itu, mereka turut membawa kain rentang yang berbunyi: "Kami bantah!!! Laluan bas akan merosakkan perniagaan kami".
Nurul Izzah sebelum itu mengadakan pertemuan dengan para peniaga terbabit untuk mendengar keluhan mereka.
Dilaporkan laluan bas baru itu akan melalui Jalan Tun Sambanthan (dari Esso/Public Bank), kemudiannya membelok ke Jalan Travers dan satu lagi ke arah ke Seputeh, juga melalui Jalan Tun Sambathan, dengan melalui Little India - kawasan yang menjadi tumpuan peniaga dan pengunjung di situ.
Pada waktu ini - selepas Little India dirasmikan oleh Perdana Menteri India, Manmohan Singh - Jalan Tun Sambanthan menjadi jalan sehala (dari arah Seputeh sahaja) bagi semua kenderaan termasuk bas.
"Tak perlu ada laluan bas. Kalau ada dua hala lalulintas, ia akan menjejaskan perniagaan (di sini). Bukan itu sahaja, (malah) kesesakan lalu lintas yang teruk akan berlaku di Little India," kata Nurul Izzah kepada pemberita.
Beliau juga khuatir. laluan baru itu akan menjejaskan keselamatan pengunjung, pelajar sekolah dan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan jalan tersebut.
Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR mendakwa, cadangan dibuat "tanpa memikirkan keperluan penduduk tempatan" sebaliknya memikirkan syarikat besar di Kl Sentral - yang terletak kira-kira 500 meter dari Little India.
Sehubungan itu, beliau yang juga anak sulung Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mendengar keluhan peniaga dan penduduk di situ.
Sementara itu, setiausaha Persatuan Peniaga Borong Brickfields (BBCS), A Karruppiah berkata, pihaknya sudah menerima rungutan peniaga berhubung perkara tersebut.
Dia juga turut bersetuju dengan Nurul Izzah bahawa jika laluan bas itu diperkenalkan, maka akan berlaku kesesakan lalu lintas dan menjejaskan tahap keselamatan pengguna di Little India dan sekitarnya.
Sehubungan itu, Karrupiah berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan alternatif kepada kerajaan bagi mengelak bas melalui Little India.
Menurutnya, bas dari Kuala Lumpur boleh membuat lencongan di stesen petrol Mobil/YMCA - yang terletak di Jalan Sambanthan - untuk melalui Jalan Sultan Abdul Samad, dan seterusnya ke Seputeh.
Dari jalan itu juga, katanya, bas boleh membelok ke kanan untuk memasuki Little India - dengan mengikuti laluan sekarang.

