MB Kedah OK, sedia hadiri mesyuarat exco
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dijangka akan mempengerusikan mesyuarat exco negeri pada minggu ini.
Mahfuz berkata selepas menziarahinya Sabtu lalu, tahap kesihatan Azizan semakin sihat dan berada dalam keadaan stabil.
"Beliau OK, alhamdulillah. Beliau sudah boleh bersembang dan bergerak.
"Saya dimaklumkan beliau dijangka akan keluar pada hari ini atau esok," katanya sambil menambah Azizan telah dipindahkan ke wad biasa.
Azizan ( kiri ) pada 1 Ogos lalu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan serta pemeriksaan jantung .
Menurut Setiausaha Akhbar beliau, Mohd Helmi Khalid, Azizan yang menghidap penyakit darah tinggi dimasukkan ke IJN Jumaat lalu selepas mengadu sakit jantung.
Helmi dilaporkan berkata, doktor yang memeriksa beliau mendapati satu saluran ke jantungnya ada masalah (tersumbat) dan menasihatkan menteri besar tinggal lebih lama untuk dirawat, selain bagi menstabilkan tekanan darahnya.

