Kerajaan Selangor telah mencapai persetujuan dengan penduduk setinggan Kampung Seri Temenggung, Gombak untuk membina rumah mampu milik di situ, kata Exco Perumahan negeri, Iskandar Samad
Beliau menyifatkannya sebagai satu kejayaan bagi kerajaan negeri kerana 29 keluarga penduduk berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan atau tawaran kerajaan lepas.
Menurutnya, 450 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan lapang di situ pada harga antara RM90,000 dan RM120,000.
Iskandar yang juga ADUN Chempaka berkata, apabila selesai pembinaan projek berkenaan, penduduk kampung tersebut juga akan ditawarkan rumah berkenaan dengan harga diskaun.
"Kita telah berjaya menghasilkan satu penyelesaian yang lebih baik dan lebih kreatif, daripada kerajaan yang lepas," katanya selepas mesyuarat exco petang ini.
Iskandar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor berkata pembinaan rumah mampu milik di kampung berkenaan adalah sebahagian daripada 2,000 unit rumah jenis itu yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2010.
Pada masa ini, katanya, kerajaan negeri telah memulakan pembinaan 124 unit rumah berkenaan di Bangi.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah dua lagi exco - Teresa Kok dan Rodziah Ismail.
Sementara itu, Teresa pula berkata berdasarkan statistik Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA), Selangor mencatatkan 158 projek perindustrian yang diluluskan di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
"Jumlah tersebut merupakan 31 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.
"Daripada jumlah itu, 102 adalah projek baru, manakala bakinya merupakan projek yang diperkembangkan," katanya.
Menurutnya lagi, negeri Johor di tempat kedua dengan 110 projek, manakala Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 56 projek.
Bagi pelaburan asing pula, Teresa berkata, Selangor berada di tempat kedua dengan jumlahnya sebanyak RM3.4 bilion.
Pulau Pinang di tempat pertama dengan RM3.6 bilion dan Johor (RM2.9 bilion).
"Jumlah projek perindustrian Selangor tertinggi di Malaysia, menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang popular di Malaysia," katanya.
