Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS WP batal demo bantah 'Seksualiti Merdeka'

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membatalkan hasratnya untuk berdemonstrasi membantah program 'Seksualiti Merdeka' selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Baru esok ekoran keputusan polis mengharamkan program tersebut.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dihantar oleh ketua dewan itu,  Kamaruzaman Mohamad lewat malam ini.

"DPPWP berharap agar penganjur program berkenaan menghentikan program dan promosi mereka bagi mengelakkan kemarahan masyarakat Malaysia yang menolak sebarang cubaan menghalalkan promosi perhubungan seks di luar batas kemanusiaan.

"DPPWP dari semasa ke semasa akan mengadakan program penerangan dan kempen bagi menyedarkan golongan yang mengamalkan nalusi seks songsang ini," katanya.

Manakala Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), dalam satu kenyataan, mengatakan ia akan mengadakan demonstrasi membantah Seksualiti Merdeka selepas solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam esok.

Dalam satu kenyataannya, PEMBELA membantah sekeras-kerasnya tindakan penganjur, penajaga dan penyokong program yang didakwanya merencanakan agenda gerakan homoseksual di Malaysia.

Menurutnyam penganjur program itu juga ingin mencabar kedudukan perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan.

Demonstrasi itu, tambahnya, adalah bertujuan membantah gerakan tersebut serta rancangan mereka untuk mendesak pemerintah supaya memberi pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Difahamkan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) juga merancang untuk mengadakan demonstrasi yang sama di Masjid Negara selepas solat Jumaat esok.

Bagaimanapun, sehingga berita ini dikemaskini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh PEMBELA atau PERKASA sama ada demonstrasi akan dibatalkan atau sebaliknya.

Sehingga ini, program tersebut dibantah oleh Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), yang membuat laporan polis semalam.

ACCIN dianggotai 17 NGO Islam termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Al-Hidayah, Darul Fitrah, MACMA, IIS, MUAFAKAT, ISMA, AL-Hunafa, IMAN, Jam'iyah, Darusshifa, WAMY, GEPIMA dan PERKIM.

Manakala presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula dilaporkan berkata Seksualiti Merdeka 2011 yang memperjuangkan kesaksamaan gender untuk golongan homoseksual dan lesbian boleh mengancam keselamatan negara.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

Ia akan berlangsung dari 9 hingga 13 November dan dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Sementara itu, Timbalan Ketua inspektor-polis Khalid Abu Bakar telah mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti penganjur 'Seksualiti Merdeka'.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Sungai Besi hari ini, Khalid berkata polis tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka yang menyertainya.

Katanya, pihak polis bertanggungjawab untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Khalid berkata, apabila terdapat ancaman kepada ketenteraman awam, maka pihak polis perlu mengambil sewajarnya.

 

 

ADS