Usul tergempar bahas penahanan ISA ditolak
Satu usul tergempar untuk membahaskan penahanan 13 orang lelaki di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA,) tidak dibenarkan atas sebab 'keselamatan'.
Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, isu itu
tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan unsur-unsur kerahsiaan.
Katanya, mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, boleh menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mengulas usul yang dibentangkan oleh Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), beliau berkata, keputusan itu juga berdasarkan hakikat bahawa ISA masih berkuatkuasa.
Katanya, beliau dimaklumkan bahawa penahanan itu dibuat di bawah ISA yang masih berkuat kuasa dan belum dimansuhkan, ataupun ada akta baru menggantikannya.
Menurutnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), jika ia memerlukan maklumat lanjut mengenai penahanan itu.
Suhakam sebelum ini telah mengecam penahanan tersebut dan mendesak supaya 13 orang yang ditahan itu, yang dilaporkan ada kaitan dengan kumpulan pengganas, didakwa di mahkamah terbuka.
Ketika membentangkan usul tersebut, Mahfuz menegaskan bahawa gesaan itu bukan dibuat supaya melepaskan mereka yang didakwa sebagai militan itu.
Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.

