Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) mengemukakan tiga tuntutan dan menggesa kerajaan melaksanakannya selaras dengan pembaharuan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Tiga tuntutan tersebut ialah membenarkan akses media yang bebas untuk rakyat mendapat maklumat mengenai pilihan raya umum, birokrasi mesti bebas dan menghalang wang ditabur secara terang-terangan dalam pilihan raya.

NONE Bercakap dalam temubual dengan Malaysiakini , timbalan pengerusinya, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir berkata, sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak "memperbetulkan yang tidak adil", maka rakyat akan menghargai tindakan beliau itu.

"Bagaimana untuk melakukan, mereka mesti duduk dan berbincang. Perlu ada penyelesaian jangka masa panjang dan pendek untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Mungkin (seperti) beberapa saluran Astro atau sebagainya... Peruntukan (ruang) di TV3, RTM dan sebagainya (kepada rakyat)... Mungkin untuk tiga bulan sebelum pilihan raya," katanya yang juga bekas menteri penerangan.

Kadir berkata, bagi langkah jangka masa panjang pula, kerajaan perlu menimbangkan memberi permit radio, televisyen atau akhbar jika merasakan rakyat serius dan kredibel, apatah lagi perkara itu merupakan hak mereka yang dijamin perlembagaan.

Dengan memberi contoh tindakan kerajaan menafikan pemberian permit akhbar kepada PAS untuk menerbitkan akhbar sendiri dan memaksa dijual secara mingguan kepada ahlinya sahaja, sebagai "tindakan primitif".

azlan "Kenapa hak mereka dinafikan. (Ianya) tidak boleh nafikan kerana dijamin dalam perlembagaan... Politik begitu adalah primitif. Saya fikir rakyat mengetahui ia adalah tidak adil dan primitif.

"Jika kerajaan segera memperbetulkan perkara ini, saya fikir rakyat akan cepat menghargainya. Saya berharap Najib mendengar mengenai perkara ini," katanya.

Mengulas mengenai birokrasi yang bebas, Kadir berkata,  tindakan jabatan kerajaan yang berkempen dengan turun ke kampung merupakan "satu perkara asas yang perlu diperbetulkan dan dihentikan".

Mengenai dakwaan wang ditabur dalam pilihan raya untuk membeli undi, Kadir menyifatkannya sebagai satu tindakan hodoh dan primitif.

Beliau malu dengan hal sedemikian kerana lebih 30 tahun dalam politik, katanya, beliau "tidak pernah menggunakan wang untuk politik" termasuk bertanding Majlis Tertinggi Umno atau pemimpin pemuda Umno.

"Itulah babak besar yang sepatutnya perlu diharamkan terus. Dan sekarang adalah amalan yang terbuka... (Ianya) cukup hodoh dan saya malu dengannya.

"Saya menjadi ahli parlimen 30 tahun, saya tidak pernah melakukannya. Duit bukan segala-galanya untuk menang dalam pilihan raya," katanya yang juga bendahari Umno bahagian Kulim-Bandar Baharu.

Sebelum itu, Kadir mengulas cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi pembaharuan pilihan raya, antaranya penggunaan dakwat kekal yang disifatkkannya satu "perubahan kecil dan tidak menyentuh perkara yang lebih utama".

"...rakyat mahu dakwat, it's ok, (kerajaan) berikan kepada mereka," katanya.

Sambil mengalu-alukan tindakan kerajaan menubuhkan PSC dan menjemput wakil pembangkang menganggotainya, bekas menteri pelancongan itu mengingatkan supaya kerajaan tidak mengadakan pilihan raya sehingga jawatankuasa itu selesaikan melaksanakan tugas mereka.

"Saya kira mereka perlu diberikan masa mungkin sehingga Jun. Berikan tiga atau empat bulan untuk mereka melaksanakan cadangan mereka.

"Lepas itu buat pilihan raya, maka kerajaan yang dilantik benar-benar melahirkan pemimpin yang gentlemen. Rakyat akan menghargainya. Percayalah," kata Kadir.

Jika pilihan raya dilaksanakan sebelum tempoh tersebut, katanya, penubuhan jawatankuasa itu sekadar "main drama" yang boleh mengundang kemarahan rakyat dan rakyat tidak akan menerima kemenangan sekiranya kerajaan menang sekali lagi.