Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini menjelaskan royalti telah dibayar kepada penulis yang mana karya mereka digunakan sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah-sekolah menengah.

NONE Pengarah Penerbitan DBP Abdul Khalik Sulaiman berkata pihaknya telah membayar royalti tersebut kepada Erda Roslan Khairi - seorang daripada lima penulis yang menulis surat terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Tegas Abdul Khalik, empat penulis lagi - Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Hazama Harun @ Aida Shahir dan Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal - "tidak ada kena mengena dengan DBP".

Ini kerana, disebabkan perjanjian mereka adalah dengan penerbit asal bukan dengan lembaga tersebut.

"Tahun lepas, kita dah buat bayaran kepada penulis (Erda)... Saya sebenarnya sudah berhubung dan dapat bercakap dengan penulis berkenaan," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas Majlis Perjumpaan Bulanan Kakitangan DBP dengan Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan.

Ditanya mengapa berlaku kelewatan pembayaran, Abdul Khalik berkata ia disebabkan penulis itu telah bertukar alamat dan tidak memaklumkan kepada DBP.

Menurutnya lagi, beliau dapat mengesan dan berhubung dengan Erda melalui laman sosial Facebook.

Malah, kata pegawai itu, sejak perkara berkenaan ditimbulkan oleh media, pihaknya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, lima penulis mengutuskan surat terbuka kepada Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, berikutan kegagalan mereka menuntut bayaran terhadap karya-karya mereka yang digunakan sebagai teks komponen sastera dalam mata pelajaran bahasa Malaysia (Komsas) di sekolah-sekolah menengah.

Menurut surat yang diperolehi daripada penulis novel Uthaya Sankar SB yang menerimanya selaku presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), kelima-lima penulis berkenaan mendakwa "tidak menerima satu sen pun" dalam bentuk royalti, walaupun karya mereka digunakan oleh ribuan pelajar di seluruh negara.

Penulis berkenaan, Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri, Hazama Harun @ Aida Shahir, Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal dan Erda Roslan Khairi, juga mendakwa bahawa pihak penerbit enggan melayan tuntutan mereka.

ADS