Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini enggan menjawab dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menguatkuasakan Pelan Bandar Raya KL yang masih di peringkat draf untuk mengambil alih tanah bawah nilai pasaran.

Tan Sri Ahmad Fuad Ismail ( kiri ) NONE sebaliknya meminta pemberita yang menyoalnya supaya menyatakan lot tanah terbabit secara spesifik.

"Boleh spesifik, (tanah itu) di Jalan Pudu dekat mana? ...Saya tidak boleh jawab soalan awak sebab tidak spesifik... Kamu harus memberitahu kami di mana tanah itu.

"Kawasan Pudu ni banyak, kawasan penjara Pudu ke? Saya tak pasti. Kalau jadi macam ni, saya akan bincang dengan pegawai di mana.

"Tapi awak, lot tanah tak beritahu, nanti saya bagi jawapan lain (pula)," katanya dalam sidang media di Institut Latihan DBKL di Cheras pagi ini.

Sebelum ini, ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng dilapor menerima aduan berhubung dakwaan DBKL mengeluarkan notis pengambilalihan untuk mengosongkan sebidang tanah komersial dalam di Jalan Pudu.

Lim mendakwa DBKL telah menguatkuasakan peruntukan-peruntukan dalam 2020 Pelan Bandar Raya KL untuk memperoleh tanah di bawah nilai pasaran, walaupun rancangan itu masih berada di peringkat draf.

Lim turut hadir ke sidang media

Ditanya lagi oleh pemberita kenapa penguatkusaan dilakukan walaupun pelan itu masih belum digazetkan, Ahmad Fuad tidak mengulas secara langsung tetapi hanya menyebut tentang keperluan mewujudkan kawasan hijau di tengah-tengah bandar.

Lim turut sama hadir mendengar sidang media itu. Beliau kelihatan duduk bersama kumpulan pemberita bersama dua lagi ahli parlimen PKR Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Tian Chua (Batu).

Kehadirannya turut disedari Datuk Bandar yang turut menyapa Lim ketika sidang media dijalankan.

NONE Sementara itu, Lim pula ketika ditemui, meminta Malaysiakini merujuk dokumen yang diserahkannya sebelum ini untuk mendapatkan butiran spesifik berhubung dakwaan itu.

"(Bagaimanapun) tanah di Pudu itu untuk buat jalan, bukan kawasan hijau," katanya lagi.

Bagaimanapun, Lim ( kanan ) mempertahankan dakwaannya itu dan menyifatkannya tindakan DBKL sebagai "sangat, sangat salah".

Justeru, beliau yang juga seorang peguam berkata akan menasihatkan pemilik tanah berkaitan untuk menyaman DBKL kerana didakwa mengalami kerugian ekoran tindakan DBKL itu.

Sementara itu, dalam reaksi terbaru di laman Facebook sebentar tadi, Lim memberitahu, lot tanah yang dimaksudkannya ialah "86 - C - 1 - 7 PT 167 Seksyen 61 Bandar Kuala Lumpur".

Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur akan diwartakan pada 1 Julai depan.