Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH 3.0: Bersihkan dulu, baru buat p'raya

Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk S Ambiga berkata, perhimpunan ketiganya pada 28 April ini membawa tiga isu utama selain lapan tuntutan yang ditegaskannya sejak mula turun ke jalan raya pada November 2007.

Antaranya ialah tuntutan supaya kerajaan membersihkan proses pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan, katanya.

Katanya, gabungan itu beranggapan bahawa kerajaan tidak menunjukkan komitmen untuk melaksanakan pilihan raya yang bersih seperti mana yang dituntut sebelum ini.

bersih pc on jom 100 170112 ambiga Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada laporan jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk menambahbaik pilihan raya yang dikemuka ke Dewan Rakyat semalam.

"Mengapa (laporan PSC) tidak kata ia mesti dilaksana sebelum pilihan raya? Mengapa?

"Dengan kata lain, mereka mengenalpasti masalah tetapi tidak menetapkan bahawa masalah itu perlu ditangani sebelum pilihan raya depan," katanya.

Tambahnya, perhimpunan kali ini juga mendesak supaya ahli Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan kerana menurut Ambiga, badan itu sepatutnya bertugas untuk rakyat dan bukannya untuk kerajaan hari ini.

"Mereka patut mencari kesedaran untuk bertanya apakah mereka telah berkhidmat untuk kepentingan rakyat.  

 

"Kami percaya mereka tidak mempunyainya. Sebab itu mereka patut meletakkan jawatan," katanya dalam sidang media pagi ini.

 

Selain itu, tuntutan supaya pemerhati antarabangsa dibenarkan memantau perjalanan pilihan raya juga menjadi tumpuan utama, kata Ambiga.

Tambahnya, kerajaan Myanmar dan Thailand pernah menjemput Malaysia memantau pilihan raya di negara berkenaan.

 

"Kita percaya pemerhati antarabangsa adalah satu perkara yang baik. Kenapa kita tidak buat di negara kita," katanya.

Jamin perhimpunan berlangsung aman

Bekas presiden Majlis Peguam itu turut memberi jaminan bahawa perhimpunan pada 28 April akan berjalan dengan aman, dan pihaknya sedia bekerjasama dengan polis untuk memastikannya berjalan lancar.

Ambiga turut berharap supaya insiden melibatkan keganasan polis seperti yang didakwa berlaku dalam perhimpunan sebelum ini tidak lagi berulang.

Katanya, BERSIH 2.0 akan menyediakan pasukan peguam untuk membantu peserta tersebut sekiranya terdapat individu yang ditahan polis.

Selain itu, bantuan perubatan dan pasukan keselamatan daripada Unit Amal PAS juga akan ditugaskan pada perhimpunan berkenaan, katanya lagi.

Katanya lagi, BERSIH 2.0 akan menghantar laporan setiap minggu kepada Majlis Hak Asasi di Geneva di Switzerland sehingga perhimpunan itu berlangsung, tambah Ambiga. 

 

ADS