Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau akan membawa usul supaya rang pindaan yang melarang siswa daripada memegang jawatan dalam kampus jika menyertai parti politik dikeluarkan terus daripada rang undang-undang tersebut.

Katanya, beliau akan mewakili Kelab Penyokong BN untuk membentangkan cadangan supaya Seksyen 15(2)(c) dalam rang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 itu dikeluarkan terus kerana mengekang kebebasan pelajar.

"Kami mahu ianya dibatalkan terus daripada pindaan AUKU... Saya telah memaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dibawa ke Kabinet," kata Khairy dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Menurutnya, beliau juga telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bahawa beliau akan membentangkan cadangan tersebut minggu depan.

Katanya, langkah itu "mengekang" kerana sekiranya beliau sendiri dilantik sebagai ketua pemuda cawangan, beliau tidak akan dibenar bertanding dalam pemilihan Majlis Perwakiln Pelajar.

Khairy juga menggangguk tanda setuju apabila ditanya sekirannya beliau mahu mahasiswa memegang jawatan dalam parti politik dan di kampus pada masa yang sama.

Rang pindaan AUKU yang dikemukakan ke Dewan Rakyat Isnin lalu membenarkan siswa mendaftar sebagai ahli dalam parti politik tetapi menghalang individu yang berbuat demikian berkenaan daripada memegang jawatan dalam pertubuhan pelajar di kampus.