PKR hari ini mengemukakan kira-kira 600 keping gambar berhubung insiden kekasaran melibatkan rombongannya dan MIC di Pejabat Perdana Menteri pada 2 Mei lalu sehingga menyebabkan seorang dikejarkan ke hospital.

Pendedahan gambar tersebut bagi menolak dakwaan MIC yang mendakwa penyokong PKR memulakan insiden tersebut.

Gambar itu, menurut mereka membuktikan dakwaan Ketua Pemuda MIC T Mohan pada 3 Mei - bahawa Ketua PKR Puchong S Murali memulakan pergaduhan ketika rombongan kedua-dua pihak bertembung di pintu pengawal keselamatan - tidak benar.

NONE "Gambar ini jelas menunjukkan kami diserang daripada belakang... Kami takut... Murali tak cakap apa-apa, cuma berdiri di situ.

"Tuduhan terhadap Murali adalah salah," kata Naib Presiden PKR N Surendran.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Surendran juga mendakwa rombongan MIC bukan hadir untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri, sebaliknya untuk menyerang beliau.

Katanya, ia dilihat berdasarkan kain rentang yang tulisannya menyerang beliau secara peribadi.

NONE Sementara itu, Pengarah Biro Undang-undang PKR Lathefah Koya mendakwa insiden bermula apabila penyokong MIC berpatah balik dan menyerang Murali walaupun sudah selesai urusan di situ.

"Kemudian, semua penyokong MIC patah balik dan menyerang Murali. Keadaan menjadi huru-hara, tetapi tiada tangkapan dibuat," katanya.

Rombongan PKR diketuai Surendran berkunjung ke Putrajaya berkaitan isu pelajar 17 tahun, Reshina Bathumanan, yang bermasalah meneruskan persekolahan kerana tiada kad pengenalan.

Lathefa turut menunjukkan gambar bagaimana sekumpulan penyokong MIC menghampiri kumpulan mereka termasuk Reshina ketika ingin memasuki pondok pendaftaran tersebut.

VIDEO | 27.59 min