Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak mematuhi perintah pegawai berkuasa untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan semasa perhimpunan BERSIH lalu.

Anggota Parlimen Batu itu dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di Jalan Semarak dekat ibu negara yang diisytiharkan mengikut Perintah-perintah kawasan larangan 1975.

NONE Beliau dituduh melakukan kesalahan bawah seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, pada 29 April lalu di pusat berkenaan, lebih kurang jam 2.30 pagi.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum bawah seksyen 7 akta yang sama iaitu penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahmud Abdullah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tian diwakili peguam Latheefa Koya, manakala pendakwaan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria.

Dalam prosiding kes itu, Latheefa membantah permohonan pendakwaraya yang mahu Tian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 yang dianggapnya jumlah yang "tinggi dan berbentuk hukuman".

Menurutnya lagi, Tian Chua merupakan seorang ahli parlimen yang berada di Malaysia dan akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan sedang berdepan dengan dua lagi perbicaraan.

Sehubungan, Latheefa yang juga pengerusi biro undang-undang PKR memohon supaya pemimpin PKR itu dijamin sebanyak RM500 atau dibenarkan jaminan persendirian.

Manakala Mohamad Hanafiah pula berhujah jumlah tersebut sebagai satu tindakan "memaksa" tertuduh hadir ke mahkamah, yang mana kemudiannya Latheefa bangun mencadangkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap sekiranya beliau gagal hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, selepas Hakim meneliti hujah kedua-dua pihak, Mahmud membenarkan Tian Chua diikatjamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.

Mahmud menetapkan 23 hingga 27 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut.