Fernandez: K'jaan patut siasat, bukan gertak
Pengarah eksekutif Tenaganita Irene Fernandez kembali menyelar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menggelar dirinya sebagai aktivis "tidak bermoral" atas dakwaan mencemarkan reputasi negara.
Katanya, Muhyiddin dan kerajaanlah yang bersikap tidak bermoral kerana mengalihkan perhatian daripada isu hak pekerja asing.
"Tindakan menggertak dan enggan menerima kritikan dengan baik adalah tidak bermoral," katanya.
Katanya, kerajaan sepatutnya "menjalankan tugas" dan menyiasat laporan demi laporan yang dibuat oleh Tenaganita dan pekerja asing berhubung dakwaan penganiayaan tersebut.
Minggu lalu, pengarah jabatan siasatan jenayah Bukit Aman, Datuk Ku Chin Wah berkata Fernandez mungkin disiasat atas kenyataannya kepada media antarabangsa berhubung pekerja asing di Malaysia.

