Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB S'gor: Pusat tak berhak sekat pinjaman siswa Unisel

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan persekutuan atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak berhak menghentikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar baru Universiti Selangor (Unisel).

Beliau memberi alasan, perbadanan tersebut bertanggungjawab untuk menyediakan pinjaman kepada semua pelajar seluruh negara.

"Kerajaan persekutuan dan kementerian tidak ada hak untuk menghentikan (pinjaman). Ini adalah isu asas, kami akan membangkitkan perkara ini," katanya.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung tindakan PTPTN membekukan pinjaman tersebut kepada pelajar Unisel yang baru mendaftar.

Tambahnya, walaupun Unisel diletakkan bawah kerajaan negeri Selangor, universiti itu juga memberi peluang pendidikan kepada pelajar lain dari seluruh negara.

"Dengan menyekat pelajar untuk mendapat pendidikan dan pinjaman, ini bermakna kerajaan tidak bertanggungjawab atau (tidak) menjalankan tugas," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, Khalid berkata pihaknya akan membangkitkan perkara ini kepada kerajaan persekutuan mengapa mereka bersikap "diskriminasi".

"Ini bukan masalah peruntukan, tetapi ia adalah berkaitan tanggungjawab sosial... Awak boleh terlibat dalam debat tentang politik, tapi (perkara) ini berkaitan komitmen dan hak," katanya.

ADS