SPR, Noh patut terima kasih pada S'gor, kata MB
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri itu sepatutnya dihargai atas usahanya membantu mengesan identiti pengundi melalui kempen Selangorku Bersih.
Katanya, timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan menteri pertanian Datuk Seri Noh Omar seharusnya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha itu.
"Mereka sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada saya dan exco kerana melakukan khidmat masyarakat.
"Kita membantu SPR. Mereka kata tidak ada kapasiti atau kuasa, sekarang selepas membantu mereka, kita dapat (tohmahan) ini. Kita perlu bersikap adil kepada diri kita.
"Kita buat untuk mereka, maka kita membantu mereka. Sekurang-kurangnya, ucap terima kasih," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Wan Ahmad yang menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak ada kuasa untuk mengesahkan identiti pengundi di bawah kempen tersebut.
Wan Ahmad juga menggesa masyarakat umum supaya tidak bekerjasama dalam kempen ini kerana bimbang pengesahan itu boleh mencetuskan "ketidaksenangan" di kalangan pengundi.
Noh Omar pula mengkritik kempen tersebut kerana mendakwa ia satu penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri kerana pengesahan identiti pengundi itu merupakan tanggungjawab SPR.
Khalid baru-baru ini melancarkan kempen Selangorku Bersih dengan menggerakkan penjawat awam dan ahli jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membersihkan senarai pemilih.

