Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mendesak kerajaan memohon maaf berhubung isu pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa baru Universiti Selangor (Unisel).

Khalid menyifatkan tindakan itu dan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai "main-main", terutama apabila PTPTN diberikan semula.

khalid ibrahim ceramah kajang 090612 Khalid berkata kedua-dua pemimpin tersebut didakwa "tidak lulus dalam ujian integriti".

Ini kerana, kata menteri besar itu, wang PTPTN menggunakan dana awam yang tidak boleh disalahgunakan dan perlu dibezakan dengan wang sendiri.

Justeru, katanya, tindakan pemimpin Umno-BN menggunakan kuasa membekukannya kepada mahasiswa Unisel, merupakan "kesalahan dan tidak amanah".

"Yang penting (pemimpin) Umno dan BN tidak boleh dan mesti tahu antara wang sendiri dan wang dana awam.

"(Kalau wang) Wang Muhyiddin dan Khaled kita tak persoal... menteri pengajian tinggi bukan menteri bola sepak.

"(Soal PTPTN) ini bukan main-main. Bukan jumlah RM1, tapi beribu juta ringgit," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam ceramah Merdekakan Rakyat di Stadium Kajang malam tadi.

5,000 banjiri ceramah

Sehubungan itu, Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menggesa supaya rakyat supaya menolak pemimpin Umno-BN tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kalau itulah dalam minda pemimpin Umno-BN, rakyat mesti tolak mereka. Kita tidak boleh lagi (biarkan) pemimpin begini yang tidak menghormati kuasa rakyat.

"Dan ini adalah hak rakyat, bukan hak Umno dan hak BN... Pemimpin Umno-BN ingat duit itu, duit mereka... PTPTN duit rakyat. Ingat Khaled, Muhyiddin. Jangan tipu rakyat," tegas Khalid Ibrahim lagi.

anwar ibrahim ceramah kajang 090612 crowd Sebelum ini Muhyiddin dilapor menyifatkan tindakan PTPTN membekukan pinjaman kepada mahasiswa Unisel sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar Pakatan Rakyat yang mahu mengadakan pendidikan percuma.

Manakala Khaled pula dilaporkan berkata, kerajaan menarik balik pembekuan itu ekoran "rayuan dan penjelasan Unisel bahawa ia tidak berniat untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar."

Semalam tokoh DAP Lim Kit Siang turut menggesa Muhyiddin memohon maaf berhubung isu pembekuan PTPTN kepada siswa baru Unisel.

Turut hadir dalam ceramah tersebut beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim dan anggota jawatankuasa pusat PAS Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Lebih 5,000 hadirin membanjiri majlis ceramah Merdekakan Rakyat di stadium tersebut.

ADS