Pasukan Republik Czech menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan suku akhir apabila menewaskan pasukan Greece dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan kedua kumpulan A di Poland awal pagi ini.

Dalam perlawanan pertama Republik Czech tewas 4-1 dengan pasukan Rusia dalam perlawanan penuh dramatik pada 9 Jun lalu di Wroclaw.

Gol pertama Republik Czech malam tadi dijaringkan oleh pemain tengah dari kelab Wolfburg di Jerman, Petr Jiracek pada minit ke-3.

Beliau yang mendapat lorongan bola daripada rakannya dari tengah padang, dengan mudah merembat bola dengan kaki kiri.

Kedudukan berubah

Belum sempat Greece menarik nafas panjang, gol kedua Republik Czech hadir pada minit ke-6 apabila sepakan lintang dari pemain pertahanan Theodor Gabre Selassie dari sebelah kiri gol Greece, dikuis masuk oleh Vaclav Pilar walaupun beliau dihimpit oleh dua pemain pertahanan Greece itu.

Dalam separuh masa pertama, Greece pula gagal membuat percubaan bahaya ke arah pintu gol pasukan Republik Czech yang dikawal kemas oleh penjaga gol Chelsea Petr Cech.

Peluang terbaik pasukan Greece hadir pada minit ke 40, gol tandukan pemain tengahnya Giorgos Fotakis dinafikan kerana beliau berada dalam posisi off-side .

Bagi separuh masa kedua, permainan Greece berubah apabila melancar serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Republik Czech.

Hasilnya pada minit ke 53, sepakan Giorgos Samaras gagal ditangkap kemas oleh Petr Cech, menyebabkan bola itu muntah dan senang ditolak ke pintu gol oleh pemain penyerang Fanis Gekas.

Berlaku salah faham antara pemain pertahanan yang berada berdekatan Petr Cech, menyebabkan beliau gagal menangkap dengan kemas sepakan tersebut.

Gagal cetus gerakan menarik

Manakala gerakan dan permainan pasukan Republik Czech pula dilihat merosot berbanding separuh masa pertama, apa hilang punca untuk melancarkan serangan pantas dari semua arah pintu gol pasukan Greece.

Ia berpunca apabila pasukan itu mengeluarkan 'playmaker' pemain tengah Arsenal Tomas Rosicky yang dikatakan kurang cergas dan beliau digantikan oleh rakan sepasukan Daniel Kolar.

Bagaimanapun Kolar akhirnya turut digantikan oleh Frantisek Rajtoral, apabila beliau gagal mencetuskan gerakan menarik kepada Republik Czech.

Kebangkitan Greece pula dilihat apabila dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Republik Czech, bagaimanapun gagal dimanfaatkan oleh pemain Greece.

Pertahanan kental Republik Czech yang diketuai Theodor Gabre Selassie turut menyelamatkan daripada gerakan Greece yang mahu menyamakan kedudukan.

Walaupun Greece menguasai 54 peratus penguasaan bola dan 46 peratus bagus Republik Czech, boleh dikatakan tiada gerakan atau serangan menarik daripada kedua-dua pasukan.

Bagi Greece, mereka berdepan tugas berat berdepan dengan Rusia dalam perlawanan terakhir pada 17 Jun ini di samping mengharapkan keajaiban antara perlawanan Republick Czech dengan Poland di Wroclaw.

Bagi Republik Czech pula, mereka memerlukan kemenangan menentang Poland untuk mara ke suku akhir pada tarikh yang sama di Warsaw.