Belanda terkeluar, Jerman hampir layak ke suku akhir
Naib Juara Piala Dunia 2010 Belanda gagal meneruskan saingan ke peringkat suku akhir apabila tewas kali kedua dalam perlawanan kumpulan B bertemu Jerman awal pagi ini.
Pasukan bimbingan Bert Van Marwijk itu tewas 2-1 di Stadium Medalist, Kharkhiv, Ukraine yang mana menyaksikan serangan dan gerakan menarik dan penuh dramatik, ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan.
Dengan kekalahan tersebut, skuad 'The Oranje' adalah pasukan pertama yang terkeluar dalam saingan peringkat kumpulan, yang mana pasukan itu setakat ini gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan.
Perlawanan mereka menentang Portugal pada 18 Jun ini sekadar melengkapkan jadual perlawanan kumpulan itu. Jika skuad itu menang sekalipun, ia tidak membawa makna apa-apa, di mana Portugal pasti bertungkus lumus untuk memenangi perlawanan untuk merebut satu lagi tempat ke pusingan seterusnya.
Portugal mengutip 3 mata, selepas menang dengan Denmark dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan sebelum itu.
Gol Jerman dalam perlawanan awal pagi ini, disumbat oleh penyerang sensasi dan tinggi lampai, Mario Gomez pada minit ke-24 dan 38, separuh masa pertama.
Kedua-dua gol tersebut dihasilkan oleh lorongan pemain tengahnya Bastian Schweinsteiger dari tengah ke kotak penalti untuk membolehkan Mario Gomez melakukan penyudah menewaskan penjaga gol Belanda Maarten Stekelenburg.
Gerakan tersebut memperlihat kerapuhan benteng pertahanan Belanda yang diketuai John Heitinga khususnya di sebelah kiri, membolehkan Mario mudah menyusup dan membuat sentuhan penyudah yang memusnahkan harapan skuad Belanda.
Sementara itu, gol tunggal Belanda dijaringkan oleh penyerang sensasi Arsenal, Robbie Van Persie pada minit ke 73, apabila mendapat bola dari tepi, terus membuat larian solo ke tengah sebelum melepas rembatan kaki kanan ke arah gawang gol.
Dengan kemenangan tersebut, Jerman hampir layak ke suku akhir dan memerlukan keputusan seri dengan Denmark untuk menjamin kedudukan selesa untuk ke peringkat seterusnya. Jerman mengumpul enam mata setakat ini.
Sementara itu, dalam perlawanan awal pagi tadi, Belanda dilihat lebih banyak menguasai permainan khususnya pada separuh pertama dengan gerakan pantas dan 'counter attack', tetapi penyudahnya gagal dicapai.
Antara peluang terbaik Belanda untuk mendahului Jerman hadir pada minit ke 6, apabila Van Persie yang mendapat umpanan daripada rakannya, beliau melepasi perangkap 'off-side', terus merembat, tetapi ditangkap kemas oleh penjaga gol Jerman Manuel Neuer.
Belanda yang berhempas pulas untuk mendapat jaringan, pada separuh masa kedua, dengan beberapa percubaan pemain tengah Bayern Munich Arjen Robben tetapi tendangannya ditangkap kemas oleh Neuer atau tersasar jauh dari gawang.
Peluang terbaik untuk Belanda, apabila rembatan penyerang Klaas Jan Huntalar - yang menggantikan Ibrahim Affalay - pada minit ke-57, tersasar beberapa inci sahaja dari kiri gol Jerman.
Manakala sepakan lencong 'playmaker' Belanda, Wesley Schneijder pada minit ke-61 tersasar keluar dari kiri gol, walaupun Neuer sudah tertewas.
Gerakan dan serangan Jerman juga tidak kurang hebatnya, apabila beberapa serangan yang diatur oleh Sami Khedira yang bermain 'one two' dengan rakannya, hampir sahaja membuatkan Marteen Stekelenburg mengutip bola di gawang buat kali ketiga.
Sebelum itu, percubaan daripada pemain pertahanan Mats Hummel pada minit ke-51 yang membuat gerakan cantik ke kotak penalti, ditepis oleh Marteen.
Pada minit akhir perlawanan, penyerang gantian, Miroslav Klose, yang mencabar Marteen yang menerima tolakan bola ke belakang oleh pemain pertahanan, hampir sahaja menjaringkan gol.
Perebutan bola itu dengan Marteen menyebabkan bola itu meniti keluar, beberapa inci daripada pintu gol Belanda.
Dengan kemenangan itu, Jerman mengutip enam mata, Denmark dan Portugal masing-masing tiga mata, dan Belanda masih gagal memungut sebarang mata.
Jerman akan menentang Denmark di Lviv, Ukraine pada 18 Jun ini.

