Denmark tewas mengejut kepada Portugal dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan penuh dramatik kumpulan B, di Stadium Arena Lviv, Ukraine, awal pagi ini.

Gol-gol Portugal dijaringkan oleh pemain pertahanannya Pepe yang menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-24, rembatan kaki kanan penyerang berbisa Helder Postiga pada minit ke-37 hasil lorongan rakannya, Nani dari sebelah kiri gol Denmark serta rembatan kencang pemain gantian Silvestre Varela dalam kotak penalti pada minit ke-87.

Manakala dua gol Jerman dijaringkan oleh penyerang tinggi lampainya Nicolas Bendtner pada minit ke-41 hasil umpanan rakannya Micheal Krohn-Dehli yang melepasi perangkap offside yang mengumpan ke Bendtner sebelum pemain itu menanduk masuk ke gawang.

azlan Sementara gol kedua Bendter, hadir pada minit ke-79, apabila beliau yang mendapat bola hasil sepakan lintang rakannya, kemudian menanduk masuk.

Walaupun penjaga gol Portugal Rui Patricio berjaya menepis bola itu, tetapi tepisan tipisnya terkena tiang sebelum bola masuk ke gawang.

Sekalipun Portugal menguasai perlawanan, tetapi penyerang sensasinya Cristiano Ronaldo masih gagal menjaringkan gol.

Walaupun beliau banyak mencipta peluang kepada rakan-rakannya atau membuat larian solonya dari tengah padang, tetapi beliau sendiri buntu untuk merobek gol lawan.

Peluang terbaiknya hadir pada minit ke-77, apabila Ronaldo berhadapan satu sama satu dengan penjaga gol Denmark Stephan Andersen, tetapi beliau tersilap dengan hanya menolak bola itu keluar di kiri gol.

Sekurang-kurangnya lima percubaan penyerang Real Madrid itu, termasuk sepakan percumanya sekadar singgah dibenteng, tersasar keluar atau ditangkap kemas oleh Andersen.

Percubaan rakannya yang lain seperti Raul Meireles, Nelson Oliveira, Nani semuanya berjaya dipatahkan oleh pemain pertahanan Denmark atau mudah diatasi oleh penjaga gol.

Bagi Denmark pula, tidak banyak gerakan menarik dicipta mereka pada separuh masa pertama. Portugal banyak menguasai perlawanan khususnya di bahagian tengah yang digerakkan oleh Meireles atau Nani.

Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-61 apabila seorang pemain Denmark merembat kencang dari luar kotak penalti, hanya sedikit sahaja tersasar dari pintu gol sebelah kiri Portugal.

Serangan dan gerakan cantik Denmark mudah sahaja dipatahkan oleh pemain pertahanan yang dibentengi Pepe dan Fabio Coentrao.

Dengan kemenangan tersebut, Portugal menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir dengan mengutip tiga mata berharga. Perlawanan terakhir mereka bertemu Belanda di Kharkhiv, Ukraine pada 18 Jun nanti.