Pasukan England menewaskan Ukraine dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan D Euro 2012 awal pagi ini.

Skuad 'The Three Lions' bimbingan Roy Hodgson mengalahkan Ukraine selepas berhempas pulas mengekang penguasaan Ukraine hampir seluruh permainan.

NONE Gol tunggal England dijaringkan oleh penyerang berbisa Manchester United Wayne Rooney pada minit ke-48 selepas menerima hantaran silang Stephen Gerard sebelum menanduk ke gawang gol.

Ukraine pula dikatakan menjaringkan gol selepas itu, apabila bola sepakan pemain tengahnya Marco Devic yang ditampan penjaga gol England John Hart dipercayai melepasi garisan gol.

Bagaimanapun, ia diselamatkan oleh pemain pertahanan England John Terry.

Devic cuba mendapat perhatian dan reaksi pengadil terhadap 'gol kontroversi' itu, tetapi ia tidak dilayan oleh pengadil.

Dengan kemenangan tersebut, England menjadi juara kumpulan D dengan mengutip tujuh mata. Mereka akan bertemu pasukan Itali pada 25 Jun ini.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Sweden pula mengalahkan Perancis 2-0 hasil jaringan penyerang tinggi lampai Zlatan Abramovich pada minit ke-53.

Jaringan itu dihasilkan melalui hantaran lintang rakannya sebelum beliau melepaskan sepakan gunting menewaskan penjaga gol Perancis Hugo Lloris.

Gol kedua Sweden dijaringkan oleh Sebastian Larsson pada minit akhir perlawanan dengan merembat kencang bola yang terkena palang gol perancis.

Walaupun menang, Sweden gagal layak ke suku akhir kerana hanya mengumpul tiga mata.

Manakala Perancis pula bernasib baik menjadi naib juara kumpulan D walaupun tewas, dengan mengutip empat mata dan akan bertemu Sepanyol pada 24 Jun ini.