Menteri hal ehwal undang-undang Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sekali lagi menolak cadangan pembangkang untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan memberi kuasa untuk mengambil tindakan ke atas salah laku polis.

Katanya, kuasa untuk membuat pendakwaan itu "tidak mungkin boleh dilakukan" kerana ia sudahpun diperuntuk kepada pejabat Peguam Negara manakala mahkamah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman.

"Kalau sekalipun IPCMC dipersetujui untuk diadakan badan siasatan khusus untuk polis, ia pun sekadar untuk menyiasat.

"Kalau didapati ada kesalahan, maka ianya mesti didakwa di mahkamah. Sekiranya ada perbuatan pihak polis ada asas rasuah maka ia juga kena dibawa ke mahkamah. 

Oleh itu, soal sama ada IPCMC berkuasa untuk mendakwa dan menghukum tidak berbangkit, katanya.

"Ia tak mungkin boleh berlaku kerana kuasa-kuasa ini telah ditentukan oleh perlembagaan masing-masing atau amalan biasa iaitu mendakwa ialah (pejabat) AG, dan menghakimi serta menghukum adalah mahkamah," katanya.

"Jadi kalau nak beri kuasa untuk menghukum kepada suruhanjaya tak mungkin boleh dilakukan kerana masing-masing tugas telah ditentukan.

"Jadi, apa jua suruhanjaya yang dibentuk, mereka berperanan untuk menyiasat," katanya ketika menjawab soalan oleh Azmin Ali (PKR-Gombak) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang ditubuhkan kerajaan juga setakat ini telah menerima 120 aduan termasuk berhubung salah laku anggota polis.

"Mereka telah jalankan siasatan. Sembilan kes dirujuk kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia) kerana rasuah dan 15 kepada jawatankuasa disiplin polis.

"Jadi kalau YB rasa bimbang, soal disiplin tak dibawa ke mahkamah melainkan disiplin itu melibatkan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, kita boleh bawa ke mahkamah," katanya.

SIAP yang berasal daripada idea menubuhkan IPCMC - pada mulanya dikenali sebagai Suruhanjaya Aduan Khas (SCC).

Perubahan tersebut dibuat selepas kerajaan menarik balik hasratnya untuk menubuhkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh suruhanjaya diraja siasatan terhadap badan kepolisan.

Azmin Ali terdahulu ketika menimbulkan perkara itu ketika berkata, SIAP tidak berkuasa untuk bertindak ke atas pegawai-pegawai yang terbabit dalam salah laku.

"Sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh laksanakan transformasi, apakah sedia membawa pindaan rang undang-undang? Kami sedia menyokong pinda memberi kuasa," katanya.