Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan melalui perlindungan insurans kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah sebanyak RM8.3juta.

Dalam jawapan bertulis yang diedarkan kepada media hari ini, beliau berkata perlindungan insurans itu meliputi kemalangan, kecederaan, kesakitan dan kematian yang dialami oleh peserta sejak pelaksanaan prograk itu pada 2004.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa semua kem PLKN di seluruh negara tidak akan berkompromi dari segi aspek keselamatan pelatih-pelatih dan sentiasa berusaha memastikan latihan dilaksanakan dalam persekitaran yang baik," katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan lisan ahli parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengenai jumlah pelatih yang meninggal dunia, mengalami kecacatan kekal semasa tempoh latihan serta jumlah pampasan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Tambahnya, sebanyak 19 kes kematian pelatih berlaku sewaktu berada di dalam kem.

"Kematian pelatih adalah disebabkan oleh pelbagai punca termasuklah masalah kesihatan pelatih itu sendiri," katanya.

Menyentuh berhubung bilangan kecederaaan kekal pula, Ahmad Zahid berkata kini sebanyak 21 kes kecederaan kekal mengikut tafsiran polisi insurans direkodkan oleh jabatan yang terlibat.