'The Azzuri' berpeluang kalahkan 'La Roja'
Kedua-dua pasukan bertemu kembali. Di peringat kumpulan, mereka seri 1-1. Itali menjaringkan gol terlebih dahulu oleh Antonio Di Natale sewaktu Sepanyol menguasai perlawanan. Kemudian penyerang Cesc Fabregas menyamakan kedudukan.
Dalam perlawanan itu, 'La Roja' bermain 'otek-otek' atau 'tiki-taka' ala Barcelona sekaligus menguasai 66 peratus penguasaan bola. Manakala selebihnya bagi Itali yang bermain menyerang di segenap sudut dan posisi.
Pemerhati dan peminat bola sepak pula kini mengkritik corak permainan Sepanyol kerana cara itu dikatakan membosankan sekalipun sesetengah pihak yang lain menganggap ia menghiburkan.
Persoalannya, apakah sekali lagi skuad Vicente Del Bosque mahu meneruskan cara itu dan tunduk dengan kritikan atau mengubahnya dengan taktikal yang lain.
Pemain tengah Sepanyol Andres Iniesta dilapor membayangkan Sepanyol akan mengekalkan corak permainan itu memandangkan cara itulah yang membuatkan mereka menjuarai EURO 2008 dan Piala Dunia 2010.
Itu katanya, tetapi semasa perlawanan akhir mungkin ia berubah.
Ketika pertemuan dengan Portugal, contohnya, Sepanyol mengubah corak dengan menyerang dan membuat hantaran jauh - tidak seperti sebelum ini - mewujudkan suasana perlawanan yang lebih terbuka menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Walaupun masih mengekalkan 'ball possesion-dominated', perlawanan dilihat mengasyikkan sehingga penonton tidak sedar masa tamat. Bagaimanapun sekali lagi, Sepanyol dikritik kerana gagal menjaringkan gol sehingga berlarutan ke masa tambahan dan ditentukan melalui sepakan penalti.
Sekiranya corak permainan 'otek'-otek' dikekalkan, sudah pasti skuad Itali bimbingan Cesare Prandelli bersedia mengeluar formulanya untuk mematahkan corak itu sekaligus merobek gol 'The Spaniards' di Stadium Olimpik, Kiev Ukraine. Mereka bakal menjuarai EURO 2012.
Dalam hal ini, Sepanyol dalam bahaya kecuali Del Bosque mempunyai percaturan lain untuk mengkucar-kacir pihak lawan. Mengekang kemaraan penyerang Itali Mario Balotelli atau 'playmaker' Andres Pirlo menggerakkan jentera tengah?
Atau Sepanyol menguasai bahagian tengah dengan menggunakan enam pemain tengah seperti perlawanan dengan Perancis? Atau menyekat kelincahan pemain tengah Riccardo Montolivio dan Daniele De Rossi yang merobek pertanan lawan?
Sudah pasti Del Bosque - yang pernah membimbing pasukan Real Madrid - telah mengkaji corak permainan Itali termasuk kelemahan mereka di segenap posisi. Mungkin beliau ada strategi dan taktikal rahsia yang tersendiri.
Bagi Itali, saya yakin mereka akan terus menggunakan corak permainan menyerang dan 'counterattack' jika mempunyai ruang dan peluang, seperti yang ditunjukkan sewaktu perlawanan di peringkat kumpulan.
Bahkan Cesare dalam pelbagai laporan turut membayangkan untuk menggunakan corak permainan tersebut seperti mana pertemuan mereka dengan pasukan England dan Jerman, sebelum ini.
Siapa sangka, Jerman yang menyenaraikan bintang mereka di segenap posisi, boleh tewas dengan semangat berpasukan Itali, saya kira, Sepanyol pasti akan lebih berhati-hati dengan corak serangan The Azzuri.
Siapa sangka, jentera Jerman yang mantap di segenap posisi sehingga tidak pernah kalah sejak di peringkat kumpulan sehingga suku akhir, mereka dilihat tidak berfungsi dengan baik dan tersekat-sekat khususnya pada separuh masa kedua peringkat separuh akhir.
Ini bermakna, Itali cuba melemahkan setiap posisi Sepanyol - khusus di bahagian tengah - di samping mencipta ruang dan peluang untuk jetera serangan yang diketuai Balotelli untuk membuat tindakan penyudah.
Jika kayu ukur itu digunakan, Itali dilihat mempunyai kelebihan untuk menjuarai Euro kali ini dengan alasan semangat berpasukan dan kelemahan serta mencipta kesilapan setiap posisi pihak lawan.
Saya tidak fikir perlawanan awal pagi esok adalah 'man-to-man marking' tetapi ia lebih terbuka untuk mencipta ruang dan peluang dan saling serang-menyerang.
Akhirnya apakah kita akan mendengar laungan, Forza Italia? Kita saksikan!

