PEMANDU: Dana banteras jenayah bukan untuk publisiti
Sebahagian besar untuk bajet untuk pengurangan jenayah di bawah Program Tranformasi Kerajaan tidak dibelanjakan untuk tujuan "publisiti" seperti didakwa PKR, kata Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah Eugene Teh berkata, hanya 0.75 peratus (RM1.8 juta) daripada peruntukan itu dibelanjakan untuk program kesedaran.
Bercakap kepada media hari ini, Teh berkata, jumlah yang dipetik Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Islam pada Selasa, termasuk peruntukan menempatkan lebih banyak pegawai polis dan RELA di jalan raya semuanya bawah 'program kehadiran' (omnipresence).
Teh berkata, perkara itu menjelaskan mengapa peruntukan untuk mengurangkan ketakutan terhadap jenayah mencecah angka RM170 juta atau 71 peratus daripada peruntukannya.
Wan Azizah semalam berkata, kerajaan mengambil pendekatan salah memerangi jenayah apabila membelanjakan sebahagian besar peruntukan GTP bagi memerangi jenayah untuk menguruskan persepsi semata-mata.
Beliau mendakwa 71 peratus daripada belanjawan NKRA tahun 2012 adalah untuk aktiviti dasar mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah.
Pada masa sama, tambahnya, kerajaan hanya memperuntukkan 3.67 peratus untuk mengurangkan jenayah pecah rumah dan curi kereta, sebanyak 11.27 peratus untuk mengurangkan jenayah jalanan, 2.75 peratus untuk membawa penjenayah ke pengadilan, dan 11.25 peratus untuk meningkatkan tahap kepuasan awam dengan polis.

