Koh: Dakwaan pemerhati luar gugat negara perlu ada asas
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan membawa pemerhati antarabangsa pada pilihan raya umum akan datang boleh menggugat keselamatan negara.
Katanya sebelum ini Malaysia pernah menjemput pemerhati antarabangsa daripada negara komanwel untuk berbuat demikian.
"Mana-mana negara terbuka untuk semua... Dulu kita pernah menerima juga (pemerhati antarabangsa), dari negara-negara komanwel.
"Bukan kita tak ada duluan. Kita pernah buat. Kita tak ada apa-apa untuk disembunyikan. Jadi tak ada masalah, kamu datang dan pantaulah," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa membawa pemerhati pilihan raya antarabangsa boleh menggugat keselamatan negara.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Program Tranformasi Kerajaan (GTP) hari ini, Koh berkata beliau berharap dakwaan ia boleh mengancam negara "perlu mempunyai asas".
"Jika ia dibuktikan benar, (berlaku) kesalahan tertentu atau manipulasi tertentu, maka perbetulkan.
"Dedahkan mereka. Jangan sensasikan bahawa kita manipulasi kesemuanya. Kita bukan superhuman," katanya.
Sementara itu, Koh turut membidas pembangkang yang didakwanya "tidak konsisten dan bercanggah pendirian" berhubung undi pos dalam negeri untuk pegawai dan media, tetapi pada masa yang sama menyokong undi pos luar negara.
"Kalau nak setuju, kedua-dua (perkara) kena setuju. Kalau nak bantah, kedua-dua kena bantah. Sebab itu saya nampak mereka ada percanggahan... Jadi kita mesti konsisten," katanya.

