Penganut mohon mencelah bimbang kuil diroboh
Persatuan Penganut Sri Muneswaran Kaliyaman memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencelah sebagai defenden kedua dalam kes melibatkan perobohan struktur kuil mereka di ibu negara.
Peguam persatuan R Sivarasa berkata, permohonan dalam kes antara pemaju Menara Hup Seng Sdn Bhd (plaintif) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (defenden) difailkan pada 17 Ogos lalu.
Mereka memohon mengetepikan keputusan mahkamah pada 5 Julai lalu yang membenarkan tanah seluas lapan kaki persegi bagi setiap sisi kuil di Jalan P Ramlee itu diambil untuk pembinaan laluan jalan kaki.
Justeru, kuil di 'Segitiga Emas' ibu kota itu bakal berdepan dengan risiko dirobohkan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan bertindak.
Pihak kuil tidak berpuas hati kerana keluasan tanah rumah ibadat itu bakal mengecil kepada 800 kaki persegi dan mendakwa hanya dimaklumkan perkara itu selepas prosiding selesai.
"Pencelah yang dicadangkan mempunyai kepentingan undang-undang yang material dan kepentingan yang sah di dalam tindakan di sini dan akan terkilan dan terjejas sekiranya tidak dijadikan pihak di dalam tindakan sedemikian," notis permohonan itu dipetik.
Dalam sidang medianya, Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata pihaknya terkejut apabila nama kuil tidak dinamakan sebagai antara defendan dalam kes itu sebelum ini.
"Kalau tidak dimasukkan, bagaimana pihak kuil mahu mempertahankan hak mereka... Sebab itu kita failkan permohonan ini," katanya dalam sidang media di kuil berkenaan.
Sivarasa berkata pihaknya masih menunggu tarikh sebutan bagi permohonan mereka itu.

