Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali menjalankan tugas rasminya hari ini selepas dua minggu mendapat rawatan kesihatan di Kedah Medical Centre (KMC).

NONE Menurut setiausaha politiknya, Mohamad Sanusi Mohd Nor (kanan) berkata Azizan hari ini mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman.

"Mesyuarat exco sedang berlangsung di bilik mesyuarat exco, blok E, Wisma Darul Aman. MB pengerusikan mesyuarat dan dia sudah sihat untuk bertugas," kata Mohamad Sanusi melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini pagi ini.

Beliau berkata semua exco hadir dalam mesyuarat tersebut termasuk setiausaha dan penasihat undang-undang kerajaan negeri kecuali Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan Datuk Amiruddin Hamzah.

Mohamad Sanusi yang juga ketua penerangan PAS Kedah berkata, ADUN Anak Bukit itu kini berada di luar atas tugas rasmi. 

    

anwar left kedah mb azizan centre.jpg Pada 31 Ogos lalu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dilapor berkata Azizan sedang berehat di hospital itu kerana keletihan akibat terlalu banyak menyertai pelbagai program sepanjang bulan puasa yang lalu.

Azizan dimasukkan ke wad pada 25 Ogos lalu.

Katanya, Azizan dinasihatkan doktor agar berehat bagi mempastikan beliau mendapat rehat yang cukup, makan ubat dengan teratur dan tidak memakan makanan yang tidak sesuai untuk kesihatan beliau.

 

Ditanya rawatan yang dijalani Azizan sewaktu berada di KMC, Mohamad Sanusi meminta perkara itu perlu dirujuk doktor yang merawatnya tetapi setahunya pesuruhjaya PAS Kedah itu terkena "jangkitan kuman".

"Dia diberi antibiotik yang kuat kerana kuman itu dah imune (mangli) dengan antibiotik yang diberi masa kes di IJN (Institut Jantung Negara) tahun lepas," katanya.

Kehadiran Azizan ke pejabat hari ini menamatkan spekulasi pelbagai pihak bahawa beliau akan digantikan dengan calon lain dalam pilihan raya akan datang.

Perkembangan isu berkenaan malah menyebabkan Umno dan Gerakan Kedah mencadangkan supaya undang-undang tubuh negeri dipinda bagi mewujudkan jawatan timbalan menteri besar.

Azizan: Isu undur serah pada PAS

Sementara itu, Bernama melaporkan Azizan sebagai berkata, doktor menasihatkannya berehat kerana terlalu banyak aktiviti dilakukan sepanjang Ramadan selain turut mengalami keracunan

makanan.

"Saya berehat, doktor paksa berehat. Sepanjang Ramadan mula 2 Ramadan sampai 29 saya berbuka di semua daerah bersama rakyat kecuali Kubang Pasu dan Kulim/Bandar Baharu," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Mengenai cadangan Pemuda Gerakan Kedah baru-baru ini supaya mewujudkan jawatan timbalan menteri besar, beliau berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana dirinya masih mampu menjalankan tugas.

Azizan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, berkata jawatan itu juga tidak diperlukan kerana barisan exco kerajaan negeri boleh menjalankan tugas dengan baik semasa beliau cuti sakit.

Ditanya adakah beliau akan berundur selepas pilihan raya umum akan datang setelah isu berkaitan kesihatannya sering dijadikan alasan supaya berbuat demikian, Azizan berkata perkara itu diserah kepada PAS peringkat pusat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS