Berakhirnya usaha Ambiga cabar larangannya ke S'wak
Usaha pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga untuk mencabar larangan beliau memasuki Sarawak berakhir apabila rayuannya untuk semakan kehakiman, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Permohonannya ditolak sebulat suara oleh panel lima hakim yang terdiri daripada Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari.
Menurut Ambiga, mahkamah menolak rayuannya selepas memutuskan bahawa beliau sepatutnya memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
Mahkamah juga mendapati bahawa beliau telah gagal untuk memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau juga diarahkan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Peguam Negara dan RM5,000 lagi kepada pejabat peguam negara Sarawak.
"Kedua-dua Peguam Negara dan Peguam Negara Sarawak masing-masing telah meminta RM10,000 tetapi mahkamah menetapkan masing-masing RM5,000," kata Ambiga ketika dihubungi.
"Tiada perintah membayar kos dibuat oleh Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan. Saya litigan tunggal dan seorang warganegara yang membayar cukai."

