Isu Suaram: SSM tangkis dakwaan pilih bulu
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) Mohd Naim Daruwish menangkis dakwaan bahawa suruhanjaya bersikap memilih bulu dalam siasatannya yang kini dijalankan ke atas Suara Inisiatif Sdn Bhd.
Jelasnya, suruhanjaya itu menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima ke atas entiti yang dikaitkan dengan NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu.
Beliau ditanya mengapakan siasatan ke atas syarikat tersebut diambil sekarang dan tidak dibuat sebelum ini.
Mohd Naim berkata, SSM "tidak berkesempatan" untuk menyemak setiap satu syarikat yang berdaftar bawah suruhanjaya itu.
"Kita buat semakan, tapi tak dapat semak setiap satu pada satu-satu masa," katanya.
Beliau juga diminta menjelaskan sekiranya sesebuah NGO melakukan kesalahan apabila menerima dana daripada luar negara.
"Itu yang kita sedang kenal pasti bidang kuasa siapa. Kamu boleh tujukan soalan itu kepada jabatan atau yang terlibat. Siasatan berdasarkan agensi masing-masing.
"Tadi kita kita telah bermesyuarat dan selaras masing-masing tengok bidang kuasa masing-masing.
"Kita kena pasti bidang kuasa berdasar dua aspek iaitu NGO atau persatuan yang tidak berdaftar dan juga isu bidang kuasa mengawal selia dana asing," kata Mohd Naim.
'Kita siasat ikut aduan'
Pegawai SSM pada 5 September lalu mengeledah pejabat setiausaha syarikat dan juruaudit Suara Inisiatif serta merampas dokumen berkaitan dengan syarikat itu.
Mohd Naim seterusnya ditanya mengenai hasil tindakan tersebut, khususnya dana yang dikumpul Suaram serta tujuan dan kegunaannya.
Katanya, masih terlalu awal untuk beliau mengulas mengenai perkara itu.
"Ia (dilihat) pramatang dan prejudis (kepada siasatan)," katanya.
Suaram dalam satu kenyataan sebelum ini percaya bahawa serbuan itu dijalankan bagi menakut-nakutkan dan
mengganggu
NGO terbabit, susulan tindakannya memfailkan saman di mahkamah Perancis berhubung dakwaan skandal dalam pembelian kapal selam Scorpene.
Tindakan itu menyebabkan mahkamah Perancis menjalankan siasatan berhubung dakwaan sogokan dalam penjualan kapal selam itu.
Mengulas dakwaan itu, Mohd Naim menegaskan bahawa: "Kita siasat berdasarkan aduan. Kita agak bebas. Kita bertindak secara profesional."
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat SSM bersama lima agensi kementerian hari ini.
Menteri yang bertanggungjawab ke atas SSM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun menafikan bahawa siasatan ke atas Suara Inisiatif itu juga berkait dengan peranan Suaram dalam kes kapal selam tersebut.
Beliau bagaimanapun pada Selasa lalu mendedahkan dakwaan bahawa sebuah NGO Amerika Syarikat, yang menjadi antara penyumbang dana terbesar kepada Suaram dipercayai mempunyai kaitan dengan spekulator mata wang terkenal George Soros.
Kenyataan berkenaan bagaimanapun ditangkis penasihat Suaram Kua Kia Soong yang menyifatkan perkara itu sebagai propaganda BN.
Katanya, dakwaan itu menyebut bahawa Soros merupakan seorang "penyangak matawang", namun bekas perdana menteri sendiri Tun Dr Mahathir sendiri, menurutnya, terpaksa mengakui bahawa Soros bukan seperti yang digembar-gemburkan.

