Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot menggariskan empat strategi yang didakwanya direncanakan oleh musuh Islam termasuk Yahudi untuk melemahkan umat Islam.

Sambil membacakan sepotong ayat Al-Quran, beliau berkata antaranya kumpulan tersebut tidak mahu umat Islam - yang berjumlah 1.6 bilion di seluruh dunia - kuat dan berani sehingga menjadi pemimpin di dunia ini.

Malah, katanya, musuh Islam juga mahu menjadikan umat Islam terus berada dalam kemiskinan khususnya dalam bidang ekonomi dan membiarkan berada dalam kejahilan serta buta huruf.

NONE "Mereka mahu umat Islam menjadi miskin dan papa kedana, yang kaya akan terus menjadi kaya... Kita mesti mengubahnya dan mempertahankan maruah kita," katanya dalam tazkirah di Masjid Jamek Kampung Baru malam tadi.

Dalam tazkirahnya sempena solat hajat mempertahankan keperibadian Rasulullah SAW anjuran NGO PERKASA malam tadi, Noh mendakwa musuh mahu umat Islam "berpecah-belah, benci membenci dan saling memfitnah" antara satu sama lain.

"Mereka tidak  mahu umat Islam berkasih sayang... Kita tidak bersatu di peringkat dunia... contohnya isu Rohingya, isu di Iraq dan di Palestin," katanya kepada kira-kira 500 hadirin yang hadir selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Di samping itu juga, Noh yang juga bekas mufti Johor menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan pemilihan makanan yang didakwanya daripada musuh Islam itu.

"Mereka (musuh Islam) tahu, makanan yang haram, doanya tidak dimakbulkan oleh Allah... Makanan haram, Allah tidak makbulkan doanya,"tegasnya.

Tegasnya, berdasarkan sepotong hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda sesuap makanan yang haram masuk ke dalam tubuh badan individu muslim, maka Allah tidak akan menerima ibadahnya selama 40 hari bahkan diancam seksaan neraka.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam bersatu dengan menanam cinta dan kasih sayang kerana Allah tanpa mengira fahaman politik supaya dapat mengelakkan dari "diperlekehkan" musuh Islam termasuk isu yang berkaitan filem 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad SAW.

"Apabila Rasulullah SAW diperlekeh, mana sikap kita sebagai umat Islam. Kita mesti bangun memberi satu sikap, tak penting tentang politik sebab ia bersifat sementara. Kita (mesti) bangun dan buat satu kekuatan," katanya.

NONE Dalam tazkirah itu juga, beliau turut menceritakan mengenai kemuliaan dan kehebatan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah bagi membangkitkan rasa kecintaaan kepada baginda seperti yang dirakamkan dalam sirah dan sejarah Islam.

Sementara itu, Ketua Penerangan PERKASA Datuk Ruslan Kassim turut membaca lapan resolusi antaranya mengecam penyiaran filem 'Innocence of Muslims' dianggap sebagai "biadap, menghina, dusta dan fitnah" terhadap Rasulullah SAW.

Ruslan berkata PERKASA melihat usaha tersebut sebagai usaha "mencemar imej Islam, berniat jahat terhadap umat Islam dan menghasut warga dunia untuk membenci Islam".

"Tindakan pengarah filem itu sebagai satu konspirasi, pakatan dan komplot jahat untuk memporak-perandakan umat Islam supaya dapat mewujudkan jurang antara Islam dan bukan Islam.

"Saya menyeru kepada umat Islam bersatu padu, seiya-sekata, seiring sejalan untuk bersama-sama menumpukan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menganjurkan solat hajat di rumah, surau dan di masjid," katanya.

Selepas itu, Noh mengimamkan solat Isyak dan hajat secara berjemaah dan mengakhirinya dengan membaca doa supaya umat Islam bangkit mempertahankan Islam daripada ancaman musuhnya.

ADS