Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata 18 daripada 232 kawasan pangsapuri di negeri itu - yang merangkumi 6,666 unit pangsapuri kos rendah - gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana badan pengurusan bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebanyak 92 peratus atau 214 kawasan - yang melibatkan 58,049 unit pangsapuri kos rendah telah menerima air percuma menerusi Skim Rebet Air Percuma (SAFWA).

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata sebanyak 232 kawasan pangsapuri atau 64,715 unit yang menggunakan meter pukal di negeri itu.

Menurutnya, pada Jun 2010, kerajaan negeri mengambil inisiatif memastikan penghuni rumah bertingkat kos rendah menerima pemberian air percuma walaupun mereka menjadi "mangsa" Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang didakwanya merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu.

"Sejak Julai 2010 sehingga sehingga Julai 2012, lebih RM6 juta telah dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah," kata Khalid.

"Skim SAFWA ini ditambah baik menerusi 'Lapor dan Dapat' iaitu mana-mana pangsapuri kos rendah yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus dengan SYABAS," katanya lagi.

Sambil menegaskan skim itu untuk pangsapuri bertingkat kos rendah, Khalid berkata pemilik pangsapuri bukan kos rendah perlu memohon daripada (SYABAS) untuk proses pertukaran dari meter pukal kepada individu.

"Malah, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan khas untuk membantu mempercepatkan dan melancarkan proses migrasi meter ini.

"Rekod semua Unit Pesuruhjaya Bangunan, pihak berkuasa tempatan dan SYABAS, sebanyak 108 kawasan terdiri daripada 29,318 unit telah bertukar kepada meter individu," katanya yang ahli parlimen Bandar Tun Razak .

Khalid berkata kerajaan negeri telah mewajibkan semua pangsapuri melaksanakan pertukaran meter air individu mulai Mei 2007 dan selepas itu pemaju wajib menyediakan meter individu dan meter pukal pada setiap pembangunan perumahan bertingkat yang baru.

Dilaporkan kerajaan negeri berdepan tindakan saman daripada 2,020 pengguna air di Selangor yang menuntut gantirugi RM1.15 juta atas dakwaan tidak menerima subsidi air percuma seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, seramai 711 pengguna air dari kawasan Shah Alam memfailkan tuntutan hampir RM500,000 pada 11 September lepas berhubung isu yang sama.

Mengulas lanjut, Khalid berkata kerajaan negeri sedia maklum dengan usaha pihak tidak bertanggungjawab yang didakwanya "sengaja memperlekehkan" program pemberian air percuma di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Walaupun kerajaan negeri menghormati kebebasan rakyat mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak mereka, tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklmumat yang secukup mengenai program air percuma ini," kata Khalid.