Loji nuklear: Kaji tapak tapi bina belum muktamad
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan setakat ini hanya mengkaji pemilihan tapak loji nuklear tetapi belum membuat sebarang keputusan muktamad untuk melaksanakan projek tersebut.
"Sehingga kini, hanya kajian pemilihan tapak yang berdasarkan pelbagai peta digital bagi Semenanjung sahaja telah dijalankan, tanpa sebarang kerja lapangan dilaksanakan hingga kini," kata Najib dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, kajian awal berkenaan hanya tertumpu kepada usaha mengenalpasti "keperluan dan persediaan awal" sekiranya projek tersebut dilaksanakan.
MP Pekan itu berkata cadangan pembinaan projek dua loji nuklear itu disenaraikan bawah Projek Permulaan (EPP) dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Status kajian berkenaan, yang disenaraikannya menyebut:
- Kajian menyeluruh tentang kesediaan perundangan dan kawalselia nuklear negara sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada awal 2013.
- Kajian kemungkinan yang lengkap termasuk penyediaan Pelan Pembangunan Infrastruktur Kuasa dan kajian pemilihan tapak loji janakuasa nuklear, masih dalam peringkat persediaan untuk dilaksanakan.
- Program penyebaran maklumat mengenai penggunaan tenaga nuklear untuk kesemua pihak berkepentingan termasuk tinjauan pendapat umum yang komprehensif mengenainya, belum dimulakan.
- Kajian untuk mengenalpasti atau menubuhkan sesuatu entiti tujuan khas bagi memiliki dan mengendalikan loji janakuasa nuklear sedang diteliti secara amanya.
Najib juga berkata, pemilihan tapak berkenaan akan menggunapakai kriteria yang disyorkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
"Perundangan dan peraturan negara juga akan dipatuhi, termasuk dari segi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Radiologi (RIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Kesihatan (HIA)," katanya
Najib yang juga menteri kewangan menjawab soalan yang dikemukakan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) berhubung peringkat kesediaan kerajaan berhubung projek ini dan lokasi pembinaan yang dicadangkan.
Pada Disember 2010, kerajaan dilapor mengumumkan pelan untuk membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatt.
Projek pertama dilaporkan sedia beroperasi pada 2021 dan loji kedua, setahun kemudian sebagai rancangan jangka panjang menyeluruh untuk bekalan tenaga yang seimbang.

