BERSIH mendakwa tindakan "mengganggu" empat ahli jawatankuasa pemandu NGO yang ingin keluar negara sebagai "ugutan daripada arahan peringkat tertinggi".

"Ini satu lagi serangan kepada masyarakat sivil. Mereka melakukannya tanpa sebarang asas dan ini satu bentuk gangguan," katanya dalam sidang media di ibu negara.

Dakwanya, empat ahli jawatankuasa BERSIH disekat sementara ketika hendak menaiki penerbangan antarabangsa sejak bulan lepas.

Keempat-empat mereka adalah Maria Chin, Yeoh Yang Poh, Wong Chin Huat dan Andrew Khoo.

Gangguan itu, kata Ambiga, menyebabkan pasport mereka disemak secara manual sedangkan kaedah tersebut boleh dilakukan secara automatik melalui mesin pemeriksaan yang disediakan.

Dilaporkan Khoo berdepan dengan situasi itu apabila disekat sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Bangkok, begitu juga yang dialami Maria ketika hendak berlepas ke Nepal melalui LCCT pada 18 September dan Yeoh ketika hendak ke Singapura.

Selain itu, pihaknya juga kembali mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus membersihkan daftar pemilih dan banyak NGO termasuk BERSIH sedia membantu SPR berbuat demikian sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Laporan PSC (suruhajaya khas parlimen) dikeluarkan pada bulan April, sampai sekarang sudah enam bulan, apakah yang dilaksanakan oleh SPR  tentang syor PSC dan juga tuntutan kita.

"Sampai sekarang kami tidak puas hati dengan apa yang telah dilaksanakan," kata Ambiga sambil menegaskan bahawa pembaharuan dalam daftar pemilih masih belum dipenuhi dan rakyat perlu mendesak perkara tersebut dilaksanakan.

Ambiga yang juga seorang peguam juga tidak puas hati dengan demonstrasi bagaimana dakwat kekal digunakan, sambil menegaskan bahawa ia diperlihatkan kepada semua parti politik dan NGO sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ditanya berhubung cadangan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran pada 3 November ini yang memfokuskan kepada dua tuntutan BERSIH, Ambiga berkata pihaknya menyokong sebarang agenda menuntut pilihan raya bersih dan adil.

"Kami menyokong dan ia baik untuk mereka kerana mempromosi agenda pilihan raya bersih dan adil itu," katanya sambil menambah semua parti politik perlu menyokong tuntutan tersebut.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum menentu peranan mereka dalam perhimpunan itu sekalipun menerima jemputan untuk menghadirinya.

1. Pemimpin BERSIH kutuk gangguan di KLIA, LCCT