MP minta k'jaan kekal sukatan pelajaran SAR
Seorang MP PAS hari ini memohon jaminan kerajaan supaya tidak mengubah sukatan pelajaran yang digunakan oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR) sekiranya pusat pengajian itu berdaftar sebagai sekolah agama bantuan kerajaan kerajaan (SABK).
Che Uda Cik Nik (PAS-Sik) berkata perkara itu menjadi rungutan kalangan tenaga pengajar SAR yang tidak bersetuju kerajaan mengubah sukatan dan tradisi pengajaran kitab lama apabila sekolah itu didaftarkan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
"Kalau mendaftar, tetapi silibusnya perlu diubah. Ini yang kita tidak setuju, kerana apa? Kerana pusaka datuk nenek kita yang membaca kitab lama ini adalah penting. Kalau kita mendaftar, tradisi itu kita buang. Yang ini para ustaz tak mahu terima.
"Adakah menteri akan menteri pelajaran boleh memberi jaminan jika didaftarkan, kita boleh kekalkan silibus itu. Soalnya silibus, bukannya soal kuasa, tanah dan lain-lain, itu soal yang kedua," katanya.
Che Uda menambah, sekolah terlibat akan menyokong sekiranya kerajaan boleh memberi jaminan, bahawa silibus dan sistem pengajaran itu akan dikekalkan di sekolah berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika diberi laluan untuk mencelah semasa ucapan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sesi perbahasan di parlimen.
Muhyddin: Tiada masalah, boleh bincang
Muhyiddin ketika meneruskan ucapannya berkata perkara tersebut "tidak menjadi isu besar dan boleh dibincangkan".
"Soal silibus itu, saya fikir ia tidak menjadi isu besar. Yang penting adalah kandungannya. Apa yang diajar pada anak. Tahap mana nak diajar, kitab mana nak dipakai, (sama ada) Matla'ul Badrain ke atau apa yang sesuai. Itu kita boleh gunakan, (tetapi) pokoknya kita duduk bincang.
"Kalau ada macam tu, kita rasa kita kita boleh bergerak ke hadapan daripada kita membuat tuduhan, kerajaan BN tidak menegakkan syiar Islam, kerajaan BN mengabaikan pendidikan Islam. Itu tak betul, kita bantu banyak dah," katanya.
Timbalan perdana menteri itu juga berkata beliau mengakui sumbangan sekolah agama rakyat membantu menyebarluaskan pendidikan Islam di negara ini.
"Tetapi dari segi pentabiran, dalam soal nak menentukan sebagai satu proses yang lestari, ia tidak boleh dibuat secara one-off.
"Sebab itu saya cadangkan kata, kita duduk bincang, supaya sekolah ini akan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kita yang tersusun," katanya.
Sementara itu Muhyiddin berkata pada 2011 kementerian telah menyalurkan peruntukan sebanyak 95 juta secara one-off sebagai bantuan ehsan kepada 247 sekolah SAR.
"Di samping itu, bantuan awal persekolahan juga dipanjangkan kepada semua murid SAR di seluruh negara. Saya sedar sekolah-sekolah ini masih memerlukan bantuan.
"Justeru dengan jumlah peruntukan yang kita ada, mungkin bantuan ehsan ini boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada kes demi kes, melalui permohonan dari SAR yang benar-benar memerlukannya," katanya.

