Menteri: Tiada peruntukan halang syarikat, NGO terima dana asing
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata tiada peruntukan dalam Akta Syarikat dan Akta Pertubuhan yang menghalang mana-mana pertubuhan atau syarikat menerima dana asing.
Katanya, kerajaan boleh mengesan penyaluran dana asing melalui dokumen yang diterima daripada organisasi dan syarikat tersebut.
Namun, tiada peruntukan dalam kedua-dua akta berkenaan yang membolehkan kerajaan menghalang pertubuhan atau syarikat berkenaan daripada menerima dana asing.
Jelasnya, pertubuhan dan syarikat perlu menghantar dokumen antaranya akaun untung rugi dan laporan pengarah yang diaudit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta minit mesyuarat atau aktiviti tahunan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk pemantauan.
Tindakan itu ditetapkan mengikut Akta Syarikat dan Akta Pertubuhan bagi membolehkan SSM atau ROS memantau dan melihat pergerakan aktiviti tahunan organisasai terlibat.
"Sekali gus, jika terdapatnya timbul penyaluran dana asing kepada syarikat dan pertubuhan berkenaan, maklumat itu boleh diketahui oleh SSM dan ROS.
"Bagaimanapun, dalam kedua-dua akta ini, tidak ada peruntukan yang menghalang syarikat dan pertubuhan menerima asing tersebut.
"Sehubungan dengan itu, tidak ada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana syarikat atau pertubuhan yang menerima dana asing itu," katanya.
Nazri bagaimanapun berkata pendakwaan tetap boleh dijalankan ke atas pertubuhan haram yang beroperasi tanpa didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan.
Katanya, ia yang merupakan satu kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000, di bawah subseksyen 6(3), Akta 335 Akta Pertubuhan.
Beliau yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata dalam Dewan Rakyat sewaktu menggulung ucapan rang undang-undang perbekalan 2013 bagi Jabatan Perdana Menteri.

