NGO Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (MANTAP) akan mengadakan satu lagi kaji selidik ke atas 28,050 penduduk di Pengerang, Johor bagi mendapat maklum balas berhubung Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) .

Timbalan pengerusinya Mazlan Aliman berkata kaji selidik yang bermula pada 1 November itu turut meliputi soal pemindahan penduduk dan pengambilan tanah kawasan perkampungan tradisi yang terlibat dengan tapak projek tersebut.

pengerang himpunan hijau 300912 pkr Katanya, maklum balas daripada kajiselidik itu akan digunakan oleh barisan peguam itu untuk memohon penangguhan projek itu daripada mahkamah.

Bercakap dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini, timbalan pesuruhjaya PAS Johor itu berkata kaji selidik itu juga membolehkan penduduk diberikan gambaran yang jelas berhubung projek tersebut.

Beliau menjangkakan penduduk kampung tersebut akan mula dipindahkan selepas mahkamah memutuskan permohonan yang dibawa oleh penduduk berkenaan.

"Selepas mengambil kira semua prosedur ini, dijangka selewat-lewatnya Mac ini kerja-kerja pemindahan (akan) dilakukan.

"Jadi perlu bagi kita memohon (dan) mendesak supaya projek itu ditangguhkan, untuk mendengar hujah majoriti penduduk Pengerang, termasuk kenapa projek ini tidak dipindahkan ke kampung (Menteri Besar) Datuk Abdul Ghani Othman?," katanya.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata pelbagai struktur bangunan, prasarana, sekolah, tanah perkuburan Islam dan Jirat Cina, serta tempat ibadat bakal berdepan dengan perobohan jika pengambilan tanah untuk projek berkenaan diteruskan.

pengerang himpunan hijau 300912 anak president mazlan aliman Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, Mazlan berkata kajian MANTAP sebelum ini menunjukkan  majoriti penduduk membantah pengambilan tanah tersebut.

"Selepas kita buat kaji selidik dan mendapatkan tandatangan, kita akan gunakannya untuk memohon penanggguhan di mahkamah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, MP Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata PAS akan menulis surat kepada Menteri Besar Johor Datuk Johor Datuk Abdul Ghani Othman untuk berdialog untuk mendapatkan pendirian sebenar kerajaan berhubung pengambilan tanah penduduk.

Salahuddin yang juga pengerusi MANTAP dan naib presiden PAS berkata beliau akan menulis surat itu atas kapasitinya sebagai ahli parlimen.

"Sekiranya tidak ada jawapan, saya juga berhasrat untuk menghantar surat untuk berdialog kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin...supaya beliau mengambil berat tentang isu Pengerang," katanya.

Rapid yang melibatkan pelaburan RM60 bilion itu mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari dan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan tetap.

Projek yang bakal dilaksanakan menjelang pertengahan 2013, iaitu selepas Petronas membuat keputusan terakhir pelaburan itu, juga akan memerlukan lebih kurang 40,000 pekerja kontrak untuk pembinaan.