Sekumpulan aktivis yang diketuai pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini menuntut kerajaan memberikan pas kerja sementara kepada seorang pekerja asing Burma yang didakwa diberhentikan kerja secara salah.

Anggota jawatankuasa pusat PSM R Rani berkata, pekerja asing terbabit sebelum ini memfailkan kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan Ipoh selepas diberhentikan daripada kilang terbabit sejak Februari tahun lalu.

Tindakan tersebut menyebabkan permohonan permit kerja oleh pekerja asing tersebut dihalang dan kini tidak dapat bekerja sehingga perbicaraan kes itu diputuskan, katanya.

Menurut Rani, pekerja Burma itu dibuang kerja selepas menuntut bayaran kerja lebih masa daripada majikannya.

Difahamkan, kes berkenaan telah disebut di mahkamah tersebut dan akan dibicarakan minggu depan.

Selain kes tersebut, PSM juga sedang menguruskan beberapa kes lain berhubung tuntutan sama, katanya.

"Isunya mereka tidak dibenarkan kerja, tidak diberikan permit kerja (sementara). Bila enam bulan kes berjalan (di mahkamah), mereka tidak boleh buat kerja, tak boleh cari makan.

"Kami rasa itu satu yang kejam dan tidak adil... Mereka tidak ada kemudahan atau bantuan untuk membolehkan mereka terus tunggu penyelesaian kes mereka," katanya.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen itu, Rani mendakwa ada di kalangan pekerja asing yang terbabit telah pulang ke negara asal tanpa pembelaan sewajarnya.

Sehubungan itu, mereka mendesak supaya kerajaan mengambil langkah segera untuk menggubal dasar adil berasaskan hak asasi manusia ke atas pekerja asing yang berdepan masalah seperti itu.

Tuntutan berkenaan dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam selepas sidang media hari ini.