Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim menepis tanggapan bahawa kementeriannya menggunakan dana awam untuk menerbitkan buku Panduan Penjelasan Isu Semasa yang memuatkan agenda BN.

"Itu pandangan sempit dan sesat. Kerja kementerian penerangan, menerangkan sesuatu. Kerajaan ditohmah atau bekalan air di Selangor tidak sampai kepada rakyat, kita menerangkan sebab musababnya.

NONE "Apakah ini menyalahgunakan kuasa? Tidak. Sekiranya audit negara tidak membuat sedemikian, pihak pembangkang harus menutup mulut. Tetapi kalau audit kata ini menyalahgunakan kuasa, barulah kita mengambil perhatian dan siasat," katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bawah kementerian penerangan menerbitkan buku yang antaranya mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jutawan Yahudi George Soros.

Buku setelah 322 halaman itu turut menyentuh pelbagai lagi isu semasa, termasuk kontroversi Pusat Fidlot Nasional, himpunan BERSIH 3.0, pemerolehan Scorpene dan loji pemprosesan nadir bumi Lynas.

Pada Mac lalu, Rais dilapor berkata sebanyak 50,000 naskhah akan dicetak, termasuk untuk rujukan orang awam di luar bandar.

RM5-6 setiap naskhah

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan melancarkan "Pemasyhuran U-Pustaka" di Kuala Lumpur hari ini, Rais berkata, kementeriannya bertanggungjawab menerangkan dasar kerajaan dan produk 1Malaysia.

"Oleh itu, sebelum membuka mulut, saya harap mereka berfikir," katanya yang juga ahli parlimen Jelebu.

Sementara itu, Rais juga berkata, buku itu mendapat sambutan hangat daripada pihak yang ingin menjelaskan isu berkaitan politik, pentadbiran dan hal-ehwal negeri di seluruh negara, termasuk di negeri pembangkang Kedah dan Selangor.

NONE "Penjelasan ringkas yang terdapat dalam buku ini, amat berguna oleh kerana ia memberi penjelasan yang dikatakan menepati apa yang perlu diterangkan.

"Ia tidak panjang, tetapi pendek dan tepat untuk mudah difahami," katanya sambil menambah saiznya juga menyebabkan ia mudah dibawa.

Ditanya kos yang dibelanjakan untuk tujuan itu, menteri penerangan berkata, sebanyak RM5 hingga RM6 diibelanjakan untuk sebuah buku.

Bagaimanapun, tambahnya, perkara itu tidak penting kerana pembaca patut memfokuskan kepada kandungannya yang "dapat memberi peluang untuk menentukan kedustaan pada yang benar".

"Pihak yang mendakwa sesuatu, kita jelaskan dengan objektif dan fakta bersekali dengan penerangan jelas," katanya.