Umno perketat keselamatan liputan sempena AGM
Umno akan menggunakan sistem baru untuk menghalang "unsur-usnur yang tak dikehendaki" berada dewan sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno bermula 27 November depan.
Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata sistem tersebut cuba mengenal pasti petugas media melalui "foto dan pengenalan biometrik" untuk membolehkan mereka membuat liputan di dalam dewan.
"(Ia) bukan saja kepada media luar sahaja, tetapi ada unsur lain dari luar pun masuk. Kita kena kawal. AGM Umno untuk bahas, bincang hal Umno. (Kita) tak mahu sabotaj.
"Umno bawah kawalan Umno untuk kepentingan Umno sendiri. Banyak berlaku dalam dan luar, (jadi) kita kena ambil langkah keselamatan," katanya dalam taklimat media sempena perhimpunan itu.
Sehubungan itu, katanya kebenaran memasuki dewan dengan membuat pengesahan menggunakan kad pengenalan MyKad.
Sistem itu juga terpakai kepada perwakilan dengan membawa kad pengenalan MrKad untuk pengesahan.

