Aktivis orang kurang upaya (OKU) menggesa pertubuhan berkaitan mereka memastikan anggota parlimen yang akan dipilih dalam pilihan raya umum akan datang terdiri daripada pihak yang

"mengambil tahu dan mahu mendengar" pandangan mereka.

Jurucakap kempen kumpulan pelobi hak kumpulan itu "OKU Bangkit" Mohammad Faizal Che Yusof berkata, sudah sampai masanya hasrat golongan itu disuarakan mereka.

NONE "Jadi tolonglah, kita ini menjadi OKU sejak kecil sehingga sampai ke mati. Jadi sudah sampai masanya kita menyuarakan (hasrat kita).

"Pastikan parlimen diisi dengan orang yang hendak ambil tahu hal rakyat, yang boleh mendengar pandangan rakyat termasuk OKU dalam dewan ini," katanya dalam forum di Brickfields di ibu negara malam tadi.

Mohammad Faizal juga mengajak pertubuhan OKU berbincang tentang program melibatkan golongan itu memandangkan pilihan raya umum "semakin hampir".

Katanya, rakyat termasuk OKU perlu memanfaatkan parlimen untuk menyuara dan mendesak kerajaan yang memerintah supaya merancang program yang menyeluruh melibatkan kumpulan itu

NONE Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi Sekretariat Prihatin OKU mengumumkan akan menyertai wacana bersama parti politik yang akan membincangkan khususnya berkaitan isu dan program berkaitan kumpulan itu.

Wacana itu akan berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, dekat ibu negara pada 10 November ini anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Sekretariat itu yang berfungsi sebagai badan pemikir dan sumber rujukan kepada parti politik mengenai isu berkaitan OKU, setakat ini mendapat sokongan daripada Pakatan Rakyat, tambahnya yang juga seorang peguam.

Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum itu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik dan wakil Persatuan Kebajikan Pekerja Sendiri OKU Penglihatan Kuala Lumpur (PKB) Omar Ahmad.