Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MUKTAMAR PAS Perwakilan Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah hari ini menggesa perwakilan bekerja kuat untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi parti itu dalam pilihan raya umum akan datang sebelum mahu mengakui PAS "layak memimpin negara".

"Untuk mencapai kemenangan, bukan sekadar cakap, maka kita boleh menang. Cabar mencabar, desak mendesak supaya (pemimpin) menjadi perdana menteri. Hendak menjadi tulang belakang Pakatan rakyat, kita kena menang sedaya yang boleh.

"Kalau mahu Datuk Seri Presiden diangkat menjadi perdana menteri, wajib kita sehabis mungkin menang, semua kerusi parlimen kita menang.

"Semalam Datuk Husam berkata, 60 kerusi parlimen sedang kita intai, jadi sekurang-kurangnya 60 kerusi menang, baru kita boleh kata, kita layak memimpin negara," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke-58 di Kota Bharu.

Sebelum itu, beliau bertanyakan kepada perwakilan sama ada mereka bersetuju mahu Abdul Hadi menjadi PM, maka mereka menjawab: "Setuju".

Tetapi mengikut rasional, katanya, jentera semua peringkat perlu bekerja kuat untuk memenangi kerusi dengan lebih banyak pada pilihan raya umum akan datang.

 

Semalam wakil Dewan Ulama PAS Pusat,  Hairun Nizam Mat Hussain menegaskan bahawa Abdul Hadi adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri kerana "beliau orang paling mengetahui hukum Allah dalam membentuk kerajaan orang Islam".

Bagaimanapun dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata seorang pemimpin diajar dalam Islam bahawa tidak boleh minta untuk menjadi pemimpin dengan menyifatkan ia satu amanah dan tanggungjawab serta serta yang penting Pakatan ambil alih Putrajaya terlebih dulu.

Aiman yang juga ketua penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berkata keputusan pilihan raya umum 2008 menyaksikan prestasi PAS mendapat kerusi parlimen paling tercorot berbanding rakan Pakatan lain.

"Jadi kalau (nak) memimpin, dapat kemenangan melalui pimpinan jentera kita, bukan belas ikhsan Pakatan Rakyat," katanya.

Perkara yang sama juga turut ditegaskan oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mahfodz Mohamad yang bersetuju bahawa PAS perlu memenangi lebih kerusi berbanding rakan Pakatan lain, jika mahu Abdul Hadi dilantik menjadi PM.

"Kalau kita menang lebih, PM kita adalah Datuk Seri Presiden," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di muktamar itu.

ADS