Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan agar insiden keganasan politik, khususnya di kawasan parlimen Lembah Pantai yang diwakilinya, tidak berulang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Katanya, Hishammuddin perlu memberi jaminan tersebut memandangkan insiden seperti itu terus berlarutan di kawasan berkenaan.

NONE Beliau mendakwa, seorang petugas partinya diserang oleh pihak yang tidak dikenali pada 29 Mac lalu, sehingga mengalami kecederaan dan menerima lima jahitan di kepala dalam satu kejadian.

Selain itu, beliau turut mengesan tiga lagi insiden melibatkan kes kecurian melibatkan dan juga perbuatan merosakkan bahan kempen parti itu, melibatkan kerugian RM20,000.

"Saya menyeru semua parti komponen Pakatan Rakyat dan BN untuk bersama mewujudkan politik yang matang dan baru untuk Malaysia agar kita dapat memberikan fokus terhadap khidmat yang bermutu kepada rakyat.

"Di samping itu, saya mengajak setiap parti yang bertanding agar menyuarakan bantahan terhadap keganasan politik sebegini dan mendesak agar Datuk Seri Hishamuddin Hussein melakukan sedaya mungkin dalam bidang kuasa beliau selaku menteri dalam negeri untuk memastikan insiden-insiden sebegini tidak berulang," katanya.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR itu berkata pihaknya telah membuat laporan polis terhadap semua insiden yang berlaku dan tidak mahu membuat spekulasi pihak yang bertanggungjawab bertindak sedemikian.

NONE "Bagi mereka yang telah dibuktikan terlibat dalam insiden politik keganasan, mereka wajib dibawa ke muda pengadilan serta merta," katanya.

Sebelum ini Hishammuddin dilapor menyatakan kebimbangan bahawa gangguan yang dikesan acara ceramah politik mungkin akan bertambah buruk menjelang pilihan raya umum.

Hishammuddin dilapor berkata bahawa beliau maklum bahawa jumlah polis yang bertugas di lapangan tidak memadai namun kerajaan akan mengerahkan sumber dari agensi berbeza untuk memastikan pilihan raya umum berlangsung dengan selamat.

Dalam sidang media itu, Nurul Izzah turut memberitahu beberapa insiden keganasan politik yang berlaku di kawasannya sejak tahun lalu, antaranya serangan terhadap aktivis siswa Adam Adli di Flat 4 tingkat PKNS pada April 2012 dan insiden baling batu pada ceramah di Pantai Permai pada Mei 2012.

Nurul Izzah mendakwa gangguan itu dilakukan oleh pihak Umno terhadap dirinya bukan sahaja berbentuk 'gangguan jenayah' malah memperlihatkan tiadanya adab tertib berpolitik.

ADS